TAMPIN - Terlupa atau sengaja, apabila sebuah kereta jenis Proton Iswara Aeroback dilihat meninggalkan stesen minyak dengan nozel pam yang masih tergantung pada kenderaannya.
Menerusi video tular, kejadian berkenaan dipercayai berlaku di sebuah stesen minyak di daerah ini pada petang Selasa.
Dalam video itu, kedengaran suara lelaki meminta nombor kenderaan terbabit direkodkan bagi membolehkan tindakan dapat diambil.
Namun kereta tersebut tidak kelihatan cuba melarikan diri apabila bergerak perlahan, bukannya dalam keadaan tergesa-gesa.
Satu lagi video menunjukkan kenderaan itu dipandu menghala ke arah Rembau.
Menjengah di ruangan komen, ada berpendapat pemandu tersebut mungkin terlupa selain ada meninggalkan komen lucu dengan mengatakan ia berpunca daripada kenaikan harga diesel ketika ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superitenden Amiruddien Sariman berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan daripada pemilik stesen minyak atau mana-mana individu.
"Saya difahamkan kejadian itu berlaku petang semalam. Tapi sehingga kini tiada laporan polis diterima,"katanya.


