Bapa tunggal tolak sumbangan, video tular sentuh hati orang ramai

18 Apr 2026 • 6:15 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bapa tunggal tolak sumbangan, video tular sentuh hati orang ramai
Tangkap layar video tular menunjukkan kesulitan yang dihadapi Dicky selepas motosikalnya mengalami kerosakan di Kuala Lumpur. Foto: ihsan pembaca

SHAH ALAM – Seorang lelaki memilih untuk tidak menerima sebarang sumbangan daripada orang ramai susulan video tular memaparkan kesulitan yang dialami selepas motosikalnya rosak di Kuala Lumpur, baru-baru ini tular di media sosial.

Individu dikenali sebagai Dicky Yau turut tersentuh dengan keprihatinan masyarakat yang tampil menawarkan bantuan selepas melihat situasi dihadapinya.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menghantar mesej secara peribadi untuk menghulurkan bantuan namun, saya tidak dapat menerima sebarang sumbangan daripada sesiapa.

“Sekiranya terdapat akaun palsu yang meminta sumbangan atas nama saya, itu adalah tidak benar. Terima kasih atas keprihatinan anda semua,” katanya menerusi satu hantaran di TikTok pada Sabtu.

Bapa tunggal itu memaklumkan motosikalnya kini sudah dibaik pulih selepas mendapat bantuan daripada pemilik akaun Facebook 'Minyak hitam jalanan original'.

Jelasnya lagi, sumbangan diterima akan dihulurkan kepada mekanik terbabit yang dikenali atas usaha membantu ramai penunggang motosikal yang terkandas akibat kerosakan kenderaan terutama tengah malam.

"Minggu depan saya cari akan cari abang itu (mekanik), gift-gift TikTok live ini akan bagi kepada abang tu untuk dia tolong orang lain," katanya.

Terdahulu, menerusi perkongsian 'Minyak hitam jalanan original', dia awalnya menerima panggilan daripada Dicky sekitar jam 12.30 tengah malam yang meminta bantuan membaiki motosikal.

Katanya, kos pembaikan alat ganti iaitu rantai dan gegancu (sprocket) serta upah bernilai RM145.

"Aku sampai je dekat dia, borak-borak sambil dia pinjam duit kawan dia dahulu.. lepas tu aku pun dh siap kerja, dia nak bayar aku tengok dalam hp (telefon bimbit), dia ada cukup-cukup untuk dia je.

"Dalam hati aku, mungkin dia betul-betul memerlukan, aku pakai la duit infak untuk dia, masa dia peluk aku korang jangan tanya la, aku memang tak boleh tahan dah.

"Setiap manusia pasti ada dugaan dan cerita sendiri, semoga abang ini kuat dan semangat," katanya.

Terdahulu, video tular tersebut telah mencetuskan pelbagai reaksi warganet hingga menerima tontonan sebanyak 6.9 juta dengan lebih 394,000 tanda suka dan 30,600 komen.