Bukan sekadar modal, usahawan PMKS perlu bijak urus aliran tunai

LocalBusiness & Finance
26 Sep 2026 • 6:29 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: Bukan sekadar modal, usahawan PMKS perlu bijak urus aliran tunai

MEMBINA perniagaan bukan sekadar mencari pelanggan dan mengejar jualan. Apabila peluang semakin besar, keperluan terhadap modal kerja, pengurusan aliran tunai dan pembiayaan yang sesuai juga semakin penting.

Realiti itu antara perkara yang diketengahkan dalam Sesi Libat Urus Pembiayaan & Pertumbuhan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di Planworth Global Factoring Sdn Bhd (Planworth), baru-baru ini.

Sesi berkenaan menghimpunkan wakil PMKS, persatuan industri dan rakan strategik bagi membincangkan cabaran yang sering berdepan dengan usahawan, termasuk akses pembiayaan, modal kerja, pelaksanaan kontrak serta pengurusan aliran tunai.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin yang berkesempatan mendengar secara langsung pandangan serta keperluan komuniti perniagaan.

Menurut beliau, kerajaan terus berusaha memperluas akses pembiayaan kepada PMKS menerusi pelbagai kemudahan dan program yang disediakan agensi seperti SME Bank, SME Corp. Malaysia, TEKUN Nasional, TERAJU dan MARA.

“Kerajaan sentiasa komited untuk meluaskan akses pembiayaan kepada PMKS melalui pelbagai kemudahan dan program yang disediakan oleh agensi seperti SME Bank, SME Corp. Malaysia, TEKUN Nasional, TERAJU, dan MARA.

“Pada masa yang sama, penglibatan sektor swasta dapat melengkapi usaha ini dengan memperluas pilihan pembiayaan kepada usahawan, seterusnya menyokong pertumbuhan perniagaan mereka,” katanya.

Pendekatan lebih digital

Dalam sesi sama, Datuk Mohamad turut melancarkan Platform Digital Baharu Pembiayaan Rantaian Bekalan Planworth yang menghubungkan pembeli seperti kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta dengan vendor PMKS serta pihak pembiaya.

Platform itu membolehkan proses permohonan, pengesahan dokumen, penilaian pembiayaan, kelulusan, penyaluran dan pemantauan status diurus dalam satu ekosistem yang lebih tersusun.

Pendekatan berasaskan teknologi itu selari dengan agenda pendigitalan kerajaan, selain memudahkan PMKS mendapatkan modal kerja bagi melaksanakan kontrak kerajaan, GLC dan sektor swasta.

Image from: Bukan sekadar modal, usahawan PMKS perlu bijak urus aliran tunai

Ketua Pegawai Eksekutif Planworth, Datuk Kuek Andy, PBM, berkata pihaknya melihat peranan syarikat sebagai pelengkap kepada agensi pembiayaan kerajaan dan institusi perbankan sedia ada.

“Matlamat kami adalah untuk memperluas pilihan pembiayaan kepada usahawan bagi menyokong keperluan modal kerja, pelaksanaan kontrak dan pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Sehingga kini, Planworth telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM4 bilion serta menyokong nilai kontrak yang menghampiri RM6 bilion kepada ribuan pelanggan di seluruh negara.

Bagi 2026, syarikat itu memperuntukkan RM1 bilion untuk menyokong pertumbuhan perniagaan tempatan.

Buka ruang kerjasama

Majlis turut menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Planworth dengan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pekerjaan Malaysia (PAPA) dan CDC International Sdn. Bhd.

Kerjasama itu bertujuan memperluas akses pembiayaan serta meningkatkan kesedaran mengenai pilihan pembiayaan alternatif dalam kalangan komuniti perniagaan.

Pada kesempatan sama, Datuk Mohamad merasmikan pejabat korporat Planworth di Kuala Lumpur yang berkeluasan kira-kira 18,000 kaki persegi.

Pejabat itu melibatkan pelaburan sekitar RM20 juta bagi pemerolehan dan kerja-kerja pengubahsuaian.

Bagi PMKS, pilihan pembiayaan yang lebih pelbagai boleh membantu usahawan mengurus keperluan modal kerja, memenuhi kontrak dan merancang langkah seterusnya dalam perkembangan perniagaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved