[VIDEO] Saya tak nak irama Malaysia bermusim – Siti Nurhaliza

EntertainmentMusic
26 Sep 2026 • 9:31 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] Saya tak nak irama Malaysia bermusim – Siti Nurhaliza

KUCHING – Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza yang mendominasi Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-25 (AIM25) dengan 14 pencalonan berharap trend irama Malaysia yang kembali diraikan oleh pemuzik tempatan bukan sekadar bermusim.

Siti berkata, beliau berbangga apabila semakin ramai pemuzik terutama yang muda bersemangat mempromosikan irama tradisional dengan melahirkan banyak karya sedemikian sejak akhir-akhir ini.

“Saya memang rasa macam dialu-alukan sangat dengan semangat untuk Gema Bumantara ini sebab selepas saya keluarkan album ini, saya dapat tengok semangat untuk generasi yang muda.

“Ada yang keluarkan lagu berirama tradisional. Dan kebetulan acara-acara sebelum ini semuanya (banyak) bertemakan tradisional.

“Jadi, saya memang rasa gembira dan yang paling penting saya tak nak dia (benda ini) bermusim. Saya nak sampai bila-bila,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada acara karpet merah AIM25 di sini hari ini.

Penyanyi berusia 47 tahun itu menyifatkan karya berteraskan irama tradisional dihasilkan bukan semata-mata untuk dirinya semata-mata, sebaliknya sebagai usaha memperjuangkan genre berkenaan untuk terus mendapat tempat dalam industri.

“Sampai ke peringkat akhir itu sudah menjadi satu kebanggaan untuk saya sebab saya memperjuangkan irama tradisional ini bukan untuk diri saya tetapi untuk industri dan juga generasi akan datang.

“Apa sahaja keputusan saya terima dengan hati terbuka kerana menghasilkan karya tradisional itu sudah dianggap sebagai satu kemenangan untuk saya.

“Selebihnya, saya serahkan kepada juri profesional mengikut kepakaran dan pendapat mereka. Walau macam mana pun, Gema Bumantara ini sudah sesuatu untuk saya dan kemenangan besar untuk saya,” katanya.

Mengulas ramalan pelbagai pihak yang mengatakan dirinya bakal membolot trofi utama pada malam ini, Siti berkata, ia sama sekali tidak akan mengubah pendiriannya untuk menerima keputusan dengan hati terbuka.

“Ramalan tetap ramalan, tetapi saya terima dengan hati terbuka. Menembusi pencalonan untuk banyak kategori pun sudah satu kemenangan untuk diri saya dan album Gema Bumantara sendiri,” katanya lagi.

Siti menjadi penyanyi dengan jumlah pencalonan tertinggi bagi edisi kali ini, sekali gus memperlihatkan kekuatan karya dan pengaruhnya dalam pelbagai cabang muzik.

Malam kemuncak AIM 25 disiarkan secara langsung menerusi TVS dari BCCK di sini, bermula pukul 9 malam ini.

Penganjuran edisi ke-25 itu mencatat sejarah tersendiri apabila AIM buat pertama kali berlangsung di Bumi Kenyalang. – KOSMO! ONLINE

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved