Bukan sekadar tempat tinggal, rumah juga ruang untuk kehidupan bermaruah

PropertyHome & Living
30 Oct 2026 • 11:03 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Bukan sekadar tempat tinggal, rumah juga ruang untuk kehidupan bermaruah
Syarifah Fatimah (kanan) ketika Wacana Sinar Harian Edisi 491, Rumah Ada, Komuniti Hilang?: Menilai Semula Hala Tuju Perumahan Awam di Karangkraf, Shah Alam pada Jumaat.

SHAH ALAM - Penyediaan rumah kepada masyarakat tidak seharusnya sekadar memenuhi keperluan tempat tinggal, sebaliknya perlu menyediakan ruang yang membolehkan penghuninya menjalani kehidupan dengan selesa dan bermaruah.

Timbalan Dekan (Akademik & Pengantarabangsaan), International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Syarifah Fatimah Al-Zahrah Syed Hussien Al-Attas berkata, perbezaan antara tempat tinggal dengan rumah yang bermaruah dapat dilihat menerusi keupayaan kediaman itu memenuhi keperluan kehidupan penghuninya.

"Perbezaannya adalah kita boleh tengok dari segi keupayaan, maksudnya kapasiti untuk membuat sesuatu.

"Cukup sekadar boleh tidur ataupun ada tidur yang bermaruah? Ada ruang yang cukup, ada ruang yang selesa, ada tempat untuk belajar dan berinteraksi," katanya dalam Wacana Sinar Harian Edisi 491, Rumah Ada, Komuniti Hilang?: Menilai Semula Hala Tuju Perumahan Awam di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, kediaman yang baik bukan sahaja perlu menyediakan ruang selamat, malah memberi peluang kepada penghuninya melakukan pelbagai aktiviti dan mengembangkan potensi diri.

"Rumah yang memberi keupayaan adalah rumah yang memberi peluang.

"Kalau tidak ada ruang yang selamat, mungkin ada risiko-risikonya. Tetapi ruang yang selamat sahaja tidak cukup kerana kita juga perlukan ruang untuk melakukan perkara yang membolehkan kita berkembang," katanya.

Mengulas lanjut, Syarifah Fatimah berkata, keterbatasan ruang kediaman boleh menjadi cabaran apabila sesebuah rumah dihuni ramai anggota keluarga.

Beliau memberikan contoh kediaman di kawasan bandar seperti rumah PPR dan dihuni lima hingga enam orang, malah terdapat isi rumah yang mempunyai lebih 10 hingga 13 penghuni.

"Kalau kita bayangkan dalam satu rumah itu ada lima hingga enam orang, seorang itu kawasan yang dikongsi dalam rumah tersebut kurang daripada satu petak parkir.

"Kalau kita tahu purata isi rumah, ada yang lebih daripada 10, ada yang 13," katanya.

Jelas beliau, keterbatasan ruang boleh menjejaskan keupayaan penghuni mendapatkan tempat sesuai untuk belajar, membesarkan anak-anak dan menjalankan aktiviti keluarga.

Katanya, ruang kediaman juga penting bagi membolehkan anggota keluarga mempunyai privasi serta tempat untuk berbincang apabila berlaku perselisihan faham.

"Di mana nak belajar contohnya? Di mana nak ada ruang yang selamat untuk anak-anak membesar, ibu bapa dan suami isteri melakukan aktiviti keluarga?

"Ataupun kalau ada perselisihan faham, di mana kita nak berbincang? Anak-anak boleh tengok atau mereka juga perlu ada ruang untuk berbincang dengan selamat?" katanya.

Beliau berkata, kanak-kanak tidak mempunyai pilihan untuk menentukan persekitaran tempat mereka dilahirkan dan dibesarkan, justeru penyediaan kediaman perlu mengambil kira keperluan mereka untuk membesar dalam keadaan selamat.

"Ruang yang selamat dan ruang yang bermaruah itu bukan sahaja satu ruang fizikal, walaupun ruang fizikal itu sendiri penting.

"Jadi, ia mempunyai dua aspek iaitu aspek infrastrukturnya dan aspek struktur sosial," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved