Mentaliti penduduk PPR dibentuk persekitaran, bukan sikap semata-mata

30 Oct 2026 • 10:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Mentaliti penduduk PPR dibentuk persekitaran, bukan sikap semata-mata
Syarifah Fatimah Al-Zahrah antara panel Wacana Rakyat Sinar Harian ke-491 bertajuk Rumah Ada, Komuniti Hilang? Menilai Semula Hala Tuju Perumahan Awam, di Studio F, Karangkraf, pada Jumaat.

SHAH ALAM - Mentaliti masyarakat bukan sahaja dibentuk menerusi cara seseorang berfikir, sebaliknya turut dipengaruhi persekitaran dan pengalaman kehidupan seharian yang dilalui mereka.

Timbalan Dekan (Akademik & Pengantarabangsaan), International Institute of Islamic Thought and Civilisation (ISTAC), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Syarifah Fatimah Al-Zahrah Syed Hussien Al-Attas berkata, hubungan antara manusia dengan persekitaran bersifat dua hala apabila kedua-duanya saling mempengaruhi.

"Kalau kita kata kita ada cara berfikir dan kita mengubah keadaan, sebenarnya keadaan itu juga mengubah cara berfikir kita ataupun membina satu budaya berfikir.

"Kadang-kadang kekangan ataupun pengalaman harian itu membentuk satu cara berfikir," katanya ketika menjawab soalan mengenai mentaliti penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang sering dikaitkan dengan masalah kebersihan, termasuk perbuatan membuang sampah dari tingkat atas kediaman.

Beliau berkata demikian dalam Wacana Rakyat Sinar Harian ke-491 bertajuk Rumah Ada, Komuniti Hilang? Menilai Semula Hala Tuju Perumahan Awam, di Studio F, Karangkraf, pada Jumaat.

Wacana itu turut menampilkan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dan Pengarah Program Kita-untuk-Kita, Think City, Dr Shahridan Faiez sebagai panel.

Dalam pada itu, Syarifah Fatimah memberi contoh kehidupan penduduk di PPR yang berdepan kekurangan tempat parkir sehingga terpaksa mengalihkan kenderaan jiran sebelum dapat keluar untuk bekerja.

"Bayangkan setiap hari kita nak keluar rumah, kereta bersusun dan kalau di kawasan PPR itu tak cukup parkir, semua turunkan handbrake supaya kalau nak keluar, kita kena tolak kereta orang lain.

"Pengalaman saya untuk pergi bekerja, buka gate guna remote sahaja dan terus keluar berbeza dengan pengalaman orang yang terpaksa tolak-tolak kereta," katanya.

Jelasnya, perbezaan pengalaman kehidupan itu boleh mempengaruhi emosi, cara seseorang berinteraksi dengan orang lain serta pandangan mereka terhadap persekitaran.

Sehubungan itu, beliau berkata, usaha membentuk mentaliti masyarakat tidak boleh dilakukan dengan hanya menyalahkan sikap individu tanpa memahami faktor persekitaran yang mempengaruhi pemikiran mereka.

"Apabila kita bincang tentang mentaliti, kita tak boleh fikir secara mudah bahawa benda itu satu hala sahaja, seolah-olah salah individu semata-mata.

"Kita juga perlu fikir apa yang membentuk pemikiran sebegitu dan apa yang menyebabkan mereka berinteraksi dengan cara tersebut," katanya.

Beliau berkata, intervensi diperlukan bagi membantu mewujudkan persekitaran lebih sihat dan selamat, selain menggalakkan penduduk bekerjasama membina kehidupan komuniti yang lebih baik.

Bagaimanapun, katanya, intervensi itu perlu disertai usaha menangani kekurangan infrastruktur dan infrastruktur sosial, termasuk aspek sosioekonomi yang mempengaruhi kehidupan masyarakat.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved