“Bukankah Saya Tuanku?” - Tuanku Muhriz Murka, Tegur MB Selepas Solat Jumaat

LocalPolitics
16 Oct 2026 • 8:43 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

“Bukankah Saya Tuanku?” - Tuanku Muhriz Murka, Tegur MB Selepas Solat Jumaat

SEREMBAN - Rakaman video memaparkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, menegur Menteri Besar, Datuk Seri Ismail Lasim, berhubung surat didakwa mempertikaikan kedudukan baginda sebagai pemerintah negeri itu, tular di media sosial hari ini.

Video yang boleh ditonton di pautan https://www.facebook.com/reel/3301072436759731/?s=single_unit itu memperlihatkan baginda berulang kali mempersoalkan kandungan surat berkenaan.

“Dalam surat itu, kamu kata saya bukan Tuanku. Jadi, bukankah saya Tuanku? Bukankah begitu?” titah baginda dalam rakaman itu.

Baginda turut meminta Ismail supaya tidak datang menghadapnya lagi, yang kemudian dibalas Ismail sambil mengangat sembah, “Ampun Tuanku”.

Kejadian itu dipercayai berlaku di tempat awam selepas solat Jumaat. 

Namun, rakaman berkenaan tidak menunjukkan apa yang berlaku sebelum teguran tersebut dibuat atau menjelaskan secara terperinci surat terlibat.

Sehingga hari ini, pertikaian berhubung kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan masih berlarutan.

Pertikaian tersebut berkait dengan pemasyhuran bertarikh 19 April yang didakwa bertujuan menyingkirkan baginda daripada takhta dan menggantikannya dengan Tuanku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar.

Isu berkenaan mencetuskan pertikaian mengenai kesahihan pemasyhuran berkenaan serta pematuhan terhadap tatacara pewarisan takhta yang ditetapkan di negeri itu.

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan, Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah, selain menyifatkan perubahan kedudukan didakwa berlaku itu sebagai tidak sah.

Kontroversi terbabit kembali memuncak September lalu apabila muncul dokumen yang dikatakan mempunyai tandatangan Ismail berkaitan pemasyhuran itu.

Ismail kemudiannya mendakwa tandatangannya diperoleh tanpa kerelaan dan dibuat di bawah tekanan.

Beliau turut mempersoalkan kesahihan pemasyhuran tersebut atas alasan proses berkenaan tidak mengikut tatacara ditetapkan dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Bagaimanapun, pada 17 September lalu, Ismail mengesahkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri telah membincangkan dan meluluskan pemasyhuran itu secara sebulat suara. 

Setiausaha Kerajaan Negeri juga diarahkan meneruskan proses pewartaan.

Perubahan pendirian itu menimbulkan persoalan mengenai kedudukan kerajaan negeri dalam isu berkenaan, lebih-lebih lagi selepas Ismail sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada Tuanku Muhriz.

Pada 6 September lalu, Ismail menegaskan, kerajaan negeri menyokong Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar, sambil menyatakan komitmen pentadbirannya untuk terus menjalankan tanggungjawab kepada rakyat.

Sementara itu, DKU menggesa polis dan Jabatan Peguam Negara menyiasat serta mengambil tindakan terhadap pihak yang didakwa melakukan kesalahan jenayah dengan mencabar kedudukan Tuanku Muhriz.

Dalam kenyataannya, DKU sekali lagi menegaskan bahawa Tuanku Muhriz ialah pemerintah negeri yang sah. Dewan itu turut menyatakan bahawa dokumen yang dikeluarkan oleh kumpulan yang mempertikaikan kedudukan baginda tidak mengubah kedudukan perlembagaan baginda. - Getaran, 16 Oktober 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved