
KEJAYAAN Johor menamatkan penantian dengan meraih ‘ibu’ emas bola Sukan Malaysia (Sukma) 2026 menjadi bukti bahawa negeri itu serius melahirkan lebih ramai bakat berkualiti seperti bintang Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi.
Jurulatih skuad Johor, Pedro Collado Celda percaya program pembangunan bola sepak negeri yang diterajui JDT konsisten menghasilkan pemain yang mampu mengikut jejak Arif Aiman untuk beraksi di pentas lebih tinggi.
Bagaimanapun, pengendali dari Sepanyol itu enggan meletakkan tekanan kepada barisan pemain mudanya dengan membandingkan mereka secara terus dengan Arif Aiman yang disifatkannya sebagai pemain luar biasa.
“Arif Aiman adalah pemain terbaik Malaysia dan saya tidak mahu membuat perbandingan. Saya tidak mahu memberi tekanan kepada pemain kami dengan membandingkan mereka dengan Arif Aiman kerana dia pemain yang luar biasa.
“Namun, jika mereka boleh bermain di Liga Super, tembusi skuad utama JDT dan berkembang langkah demi langkah, sudah tentu kami akan cuba menyediakan platform buat mereka,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan, Celda percaya kejayaan Johor menewaskan Selangor 4-2 menerusi penentuan penalti selepas terikat 1-1 dalam masa sebenar pada aksi final di Stadium MBPJ membuktikan mentaliti pemainnya semakin matang.
Ini kerana pasukannya sudah berusaha untuk menjuarai pingat emas Sukma sejak beberapa edisi yang lepas, tetapi tidak berjaya sebelum tuah memihak di bumi Selangor.
“Saya sangat gembira kerana akhirnya kami memenangi pingat emas ini. Ini adalah final yang sukar kerana Selangor memberikan tentangan yang sangat baik. Kami mempunyai lebih banyak peluang berbanding Selangor, tetapi pemain kekal fokus dan akhirnya perlawanan ditentukan menerusi penalti,” katanya.
Sementara itu, Perak melengkapkan kedudukan podium apabila meraih pingat gangsa selepas menewaskan Pahang 4-0 pada penentuan tempat ketiga.
The post Sukma 2026: Johor buktikan pembangunan pemain terbaik appeared first on Kosmo Digital.





