Buku pesanan Solarvest dijangka capai RM3 bilion menjelang akhir FY26 - Maybank IB

LocalBusiness & Finance
16 Dec 2025 • 10:08 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Buku pesanan Solarvest dijangka capai RM3 bilion menjelang akhir FY26 - Maybank IB
image is not available
liza16/12/2025 - 10:08 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 16 Dis – Solarvest Holdings Bhd diyakini akan terus memperkukuh kedudukannya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui selepas memenangi tiga kontrak EPCC solar baharu di bawah Program Solar Skala Besar 5 (LSS5) bernilai RM171.7 juta, kata Maybank Investment Bank.

 

Projek itu dijalankan bersama Binastra Corp melalui konsortium Binastra Atlantic, di mana Solarvest memegang 49 peratus pegangan. 

 

Kontrak itu melibatkan tiga ladang solar dengan jumlah kapasiti 56.54MWac yang dijangka siap menjelang Jun 2027. 

 

Dalam kerjasama ini, Solarvest bertanggungjawab ke atas pelaksanaan teknikal, manakala Binastra Corp akan menguruskan pembiayaan projek.

 

Maybank IB berkata, daripada kontrak baharu ini, Solarvest akan menambah RM84.1 juta ke dalam buku pesanan sedia ada, menjadikan jumlah projek dan kontrak yang telah diperoleh syarikat sebanyak RM1.7 bilion.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Maya Jaya lantik Binastra Atlantic, Solarvest sebagai kontraktor EPCC tiga projek LSS5 bernilai RM171.7 juta 

 

“Kami menjangkakan lebih banyak projek baharu akan diumumkan menjelang akhir tahun kewangan FY26, berpotensi meningkatkan buku pesanan syarikat kepada RM2.5 hingga 3 bilion.

 

“Oleh itu, kami mengekalkan saranan beli untuk saham Solarvest dengan harga sasaran RM3.67 seunit, sejajar dengan prestasi syarikat dan kedudukannya sebagai peneraju pasaran solar di Malaysia dengan pegangan pasaran melebihi 30 peratus,” kata Maybank IB dalam nota kajiannya.

 

Solarvest juga mempunyai portfolio aset yang kukuh, termasuk projek LSS4, CGPP, LSS5, projek di Brunei, dan projek LSS5+ bersama Malakoff, dengan jumlah kapasiti lebih 500MWp. 

 

Maybank IB berkata, Solarvest turut berkembang ke dalam perkhidmatan baharu termasuk BESS, penyelesaian kecekapan tenaga, perdagangan RECs, pusat data hijau dan stesen pengecasan EV.

 

“Prestasi kewangan Solarvest menunjukkan pertumbuhan kukuh, dengan hasil FY25 sebanyak RM536.8 juta, naik 8 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala keuntungan bersih teras meningkat 63.5 peratus kepada RM58 juta.

 

“Solarvest dijangka terus menjadi penerima manfaat utama daripada inisiatif peralihan tenaga negara dan pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui yang berterusan,” katanya. - DagangNews.com

Terkini standard