KLANG – Bandar Bukit Tinggi di sini tampil dengan wajah baharu menerusi projek pengindahan bulatan bertema yang bukan sahaja menceriakan landskap bandar, malah mewujudkan persekitaran lebih kondusif, bersih dan tersusun demi kesejahteraan penduduk setempat.
Pengarah Komunikasi Korporat Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Norfiza Mahfiz berkata, inisiatif yang dilaksanakan MBDK bersama Rotary Club of Klang Central menerusi Rotary Roundabout itu bukan sahaja memperindah landskap bandar, malah memberi nilai tambah kepada imej visual Klang sebagai bandar raya warisan.
Menurutnya, MBDK menghargai komitmen Rotary Club yang bersama-sama merealisasikan projek komuniti mampan berkenaan.
“Kewujudan Rotary Roundabout ini menjadi simbolik kepada kebersamaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam menjayakan projek landskap berkonsepkan keceriaan.
“Pelaksanaan projek ini bukan sahaja memperindah infrastruktur sedia ada, malah memberi impak positif kepada komuniti setempat,” katanya ketika mewakili Datuk Bandar MBDK pada Majlis Perasmian Rotary Roundabout di Bandar Bukit Tinggi di sini pada Jumaat.
Norfiza berkata, sumbangan dana, masa dan tenaga daripada pelbagai pihak turut mencerminkan semangat tanggungjawab sosial korporat.
Jelas beliau, MBDK berharap mercu tanda baharu itu menjadi pemangkin kepada lebih banyak kerjasama strategik pada masa hadapan dalam usaha memacu pembangunan komuniti inklusif dan pemeliharaan alam sekitar mampan di daerah Klang.



