Bumi Armada berpotensi jana sumber pendapatan baharu menerusi MoU dengan Navigator – RHB Investment

Business & Finance
22 Jun 2023 • 11:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bumi Armada berpotensi jana sumber pendapatan baharu menerusi MoU dengan Navigator – RHB Investment

diyana

22/06/2023 - 11:14

KUALA LUMPUR 22 Jun - Bumi Armada Berhad berpotensi menjana sumber pendapatan baharu daripada memorandum persefahaman (MoU) tidak terikat yang dimeterai dengan Navigator Holdings Ltd baru-baru ini, menurut RHB Investment.

Oleh itu, firma penyelidikan tersebut positif bagi jangka panjang memandangkan Bumi Armada memulakan agenda peralihan tenaga global yang akan menyediakan rumusan berkaitan karbon dioksida.

Firma itu berkata Bumi Armada mengendalikan satu-satunya kapal terapung, pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan (FPSO) yang menggunakan sistem pemulihan amina untuk mengekstrak hidrogen sulfida (H2S) daripada gas pengeluaran, sama seperti yang digunakan dalam kebanyakan sistem pemulihan tangkapan karbon dioksida di seluruh dunia.

“Bagaimanapun, menunggu butiran lanjut daripada pihak pengurusan, impak pendapatan jangka pendek berkemungkinan kecil dan keperluan pembiayaan bergantung pada saiz projek dalam perancangan. Oleh itu, kami mengekalkan anggaran pendapatan,” katanya dalam nota hari ini.

Menurut RHB Investment, saranannya ke atas saham kumpulan masih berdasarkan andaian bahawa penutupan Kraken akan diselesaikan dalam jangka pendek.

Semalam, Bumi Armada telah mengumumkan bahawa pengeluaran Kraken FPSO kini pada sekitar 60% daripada tahap pra-tutup setelah ia dimulakan baru-baru ini dan masih terdapat kerja, ujian dan penyiasatan lanjut yang sedang dijalankan untuk menstabilkan dan mengembalikan prestasi operasi kapal ke tahap sebelum penutupan.

“Armada Kraken menyumbang lebih 30% daripada penilaian kami dan sebarang gangguan jangka panjang akan menimbulkan risiko menurun kepada harga sasaran (TP) kami, yang membayangkan harga-kepada-pendapatan (P/E) dan harga-kepada-buku (P/BV) pada FY24 sebanyak 5.4 kali dan 0.6 kali,” tambahnya.

Firma itu mengekalkan saranan ‘beli’ dengan TP 73 sen sesaham. - DagangNews.com