
LAHAD DATU: Ahli Dewan Undangan Negeri Kemabong Datuk Rubin Balang tidak perlu ‘menegakkan benang yang basah’ berhubung pembabitan beliau membantu kempan calon Bebas bagi Parlimen Tenom, Riduan Rubin.
Pengerusi Barisan Nasional Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, dari mula proses penamaan calon, Rubin turut kelihatan mengiringi calon Bebas itu, yang merupakan anaknya, ke pusat penamaan calon dan beberapa hari kemudian, beliau turut kelihatan bersama Riduan ketika menyerahkan borang kemasukan anaknya itu ke dalam Parti Kesejahteraan Demotarik Masyarakat (KDM) di hadapan presidennya, Datuk Pater Anthony.
“Tujuan calon Bebas itu menyertai KDM sudah tentu ingin menarik penyokong (KDM) untuk menyokongnya bagi mengekang kemaraan calon Barisan Nasional Tenom, Jamawi Jaafar,” kata Bung sebagai mengulas kenyataan media Rubin kesal dengan gesaan beliau agar Rubin diambil tindakan termasuklah dipecat daripada jawatan pengerusi sebuah syarikat berkaitan kerajaan.
Bung menegaskan, beliau membuat gesaan itu berdasarkan fakta.
“Keputusan telah dicapai antara BN dan GRS yang mana kerusi parlimen Tenom diberikan kepada wakil dari BN dan Rubin mengetahui perkara itu kerana beliau adalah anggota GRS.
“Tindakan beliau (Rubin) sering bersama calon Bebas sudah tentu menimbulkan presepsi negatif kepada penyokong GRS dan BN. Tindakan beliau itu bukan sahaja melanggar perjanjian yang wujud antara BN dan GRS malah turut tidak menghormati nasihat Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor agar semua pemimpin memberikan sokongan kepada calon-calon BN dan GRS yang bertanding pada PRU ini,” katanya.
Bung menambah walaupun Rubin mengakui beliau merupakan calon Bebas pada Pilihan Raya Negeri 2020 dan dipelawa membentuk kerajaan, beliau sepatutnya patuh kepada perjanjian yang dipersetujui serta nasihat Hajiji selaku pengerusi GRS.
Sehubungan itu, Bung yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Lamag meminta pengundi- pengundi di Parlimen Tenom agar menolak calon Bebas dan pemimpin yang bersikap ‘talam dua muka’.
“Tidak ada untungnya kita menyokong calon Bebas. Sekalipun ditakdirkan menang, mereka tidak dapat membentuk kerajaan dan tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Mereka hanyalah calon yang disokong keluarga sendiri demi menjaga kepentingan politik peribadi. Kesan kerugiannya akan ditanggung oleh rakyat,” kata Bung.
Beliau menambah, jika pengundi di Tenom memilih calon Bebas, mereka umpama diwakili parti pembangkang.
“Ini kerana segala peruntukan untuk pembangunan di kawasan tersebut tidak akan diperolehi, berbeza jika mereka menyokong BN, sebuah parti yang mampu membawa kestabilan politik dan kemakmuran negara,” katanya.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Tun Mustapa di sini, Bung meminta pengundi Lahad Datu agar bijak memilih calon yang bertanding dalam PRU kali ini.
Menurut Bung , memilih calon pembangkang termasuk Warisan merupakan satu kesilapan besar kerana ia sama seperti memilih parti pembangkang yang tidak dapat membawa apa-apa pembangunan untuk kepentingan rakyat di kawasan tersebut.
“Di dalam manifesto BN, kita menyediakan pelbagai tawaran yang memberikan kesejahteraan kepada rakyat yang sudah pasti akan dilaksanakan sekiranya BN menawan Putrajaya pada PRU ini,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
