Riduan tanding Bebas, sertai KDM atas kehendak sendiri: Rubin

Politics
14 Nov 2022 • 1:18 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Tenom: Penyelaras Gabungan Rakyat Sabah (GRS) P.181 Tenom Datuk Rubin Balang (gambar) kesal dengan tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin meminta Ketua Menteri mengambil tindakan terhadapnya termasuk memecatnya daripada jawatannya dalam Syarikat berkepentingan kerajaan Sabah (GIC).

Ini berikutan dakwaan beliau terlibat menyokong dan membantu kempen anaknya, Riduan Rubin, yang bertanding atas tiket Bebas (simbol Gajah) bagi kerusi Parlimen Tenom.

Jelasnya, keputusan Riduan menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) adalah keputusannya sendiri selepas mendapat tawaran daripada Presiden KDM Datuk Peter Anthony.

Beliau berkata pada 11 November 2022, Peter menghubungi Riduan dan menawarkannya menjadi ahli KDM iaitu sebelum hari pengundian bagi mengelak Undang-undang Anti Lompat Parti.

“Saya difahamkan selepas Riduan dan penyokongnya bersetuju dengan tawaran itu, pihak Peter menghubungi saya dan meminta saya datang ke pejabat KDM.

“Mereka bertanya sama ada saya membantah Riduan menyertai KDM. Saya memaklumkan kepada mereka bahawa saya tiada kuasa dan hak untuk membantah atau berbuat apa-apa memandangkan Riduan bukan lagi ahli Bersatu kerana dia meletakkan jawatan dalam parti sebelum hari penamaan calon.

“Selepas pertemuan singkat itu, saya terus keluar dan meninggalkan pejabat KDM,” katanya dalam satu kenyataan mengulas dakwaan beliau telah melanggar syarat perjanjian GRS-BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Sehubungan itu, Rubin kesal dengan tindakan dan gesaan Bung yang meminta Ketua Menteri mengambil tindakan terhadapnya dipecat daripada jawatan GIC, tanpa fakta sebenar.

Rubin yang juga Adun Kemabong berkata, perlu diingat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020 lalu, beliau bertanding atas tiket Bebas.

“Selepas menang sebagai Adun Bebas, saya dan rakan-rakan ADUN Bebas Datuk Masiung Banah dan Datuk Ruddy Awah dijemput untuk sama-sama membantu membentuk Kerajaan Negeri iaitu antara GRS dan BN/Umno. Hasil permuafakatan itu, Kerajaan Negeri membentuk Kerajaan Negeri GRS-BN hari ini.

“Di bawah kabinet Kerajaan GRS-BN yang dibentuk, mereka mendapat jawatan penting termasuk Bung yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya.

“Sekarang selepas Kerajaan Negeri GRS-BN memerintah lebih 2 tahun, mereka minta saya dihalau hanya kerana calon BN/Umno parlimen Tenom, Jamawi Jaafar marah dengan keputusan anak saya, Riduan untuk bertanding sebagai calon Bebas.

“Bung harus sedar bahawa adalah tidak adil untuk melarang mana-mana pihak yang layak dan berminat untuk bertanding pada PRU15 kerana ini negara demokrasi.

“Tindakan dan keputusan Riduan untuk bertanding sebagai calon Bebas, itu adalah keputusan sendiri dan penyokongnya, dia berhak menentukan masa depan dan perjuangan politiknya.

“Saya harap anda yang matang dalam politik dan tidak mudah terpengaruh dengan laporan tidak berasas oleh Jamawi yang sengaja mahu merosakkan nama baik saya,” dakwanya.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.