RESORTS World Awana hari ini melancarkan BUNGA 2026, pameran bunga tertinggi di Malaysia yang turut menampilkan festival orkid dan florikultur antarabangsa pertama seumpamanya di negara ini.
Acara berlangsung selama lima hari bermula 3 hingga 7 Jun di Awana Village, Dewan Pameran T2 itu menghimpunkan persatuan orkid, pengusaha nurseri, penghibrid dan pengumpul terkemuka dari seluruh Asia.
Naib Presiden Eksekutif Jualan, Pemasaran dan Perhubungan Awam Resorts World Genting, Spencer Lee, berkata BUNGA 2026 menjadi platform penting bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penghargaan orkid, pelancongan botani dan pertukaran hortikultur di peringkat serantau.
"BUNGA 2026 bukan sekadar pameran bunga, malah meraikan kreativiti, budaya, usaha pemuliharaan dan minat terhadap orkid yang menyatukan komuniti dari seluruh Asia," jelasnya dalam kenyataan selepas menyempurnakan majlis pelancaran festival itu.
**media[3540391]**
Beliau berkata, penganjuran acara berkenaan turut menjadi langkah awal ke arah Asia Pacific Orchid Conference (APOC) 2028 yang dijadualkan berlangsung di Resorts World Genting dari 17 hingga 26 Mac 2028, sekali gus menjadi edisi pertama persidangan berprestij itu dianjurkan oleh sebuah syarikat swasta.
Antara tarikan utama festival itu ialah Pameran dan Pertandingan Orkid Antarabangsa yang menampilkan peserta dari Malaysia, Singapura, Thailand, Vietnam, Taiwan, Indonesia dan Brunei.
Peserta yang mengambil bahagian termasuk Taipei Orchid Society, Damrong Star Orchid Society dari Thailand serta penghibrid orkid pemenang pelbagai anugerah, Chulee Orchid, di samping pengumpul dari Vietnam, Nguyen Anh Tuan, Indonesia Orchid Community, serta wakil Malaysia iaitu Orchid Society of Selangor & Federal Territory dan Federation of Malaya Orchid Society.
Turut serta ialah The Orchid Society of South East Asia (OSSEA) dari Singapura dan Jasmina Florist & Landscaping Co. dari Brunei.
Festival itu turut menampilkan kehadiran pakar hortikultur Thailand, Mr Home, selain penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Orkid Antarabangsa bagi kategori penanaman, persembahan dan reka bentuk landskap orkid.
Selain pameran, pengunjung boleh menikmati pelbagai aktiviti interaktif termasuk program 'Bloom Beyond BUNGA' di Euflora Gardens & Sculpture Park, 'Forest for the Future Orchid Stories' dan 'Wild Orchid Explorer' yang dikendalikan Genting Nature Adventures.
Konsep gaya hidup botani premium menerusi Orchadia turut diperkenalkan dengan pelbagai program khas seperti kelas induk orkid, pengalaman teh botani, sesi apresiasi kopi dan teh serta jualan eksklusif orkid nadir.
Tiket masuk BUNGA 2026 dijual pada harga RM30, manakala tiket kombo bersama kemasukan ke Euflora ditawarkan pada harga RM50. Warga emas pula menikmati kadar khas RM20 bagi pembelian secara terus dan setiap tiket disertakan kredit makanan bernilai RM10.
Bagi pengunjung yang ingin bermalam, pakej 'Bunga Bloomscape Staycation' ditawarkan di Resorts World Awana, First World Hotel, Genting SkyWorlds Hotel dan Highlands Hotel dengan harga bermula RM81 semalam, termasuk penginapan, dua tiket masuk festival dan aktiviti rekreasi tanah tinggi.
Maklumat lanjut mengenai BUNGA 2026 boleh diperoleh menerusi laman web dan platform media sosial rasmi Resorts World Genting.




