Bunuh 4 Sekeluarga, Hukuman Mati Lelaki Bisu, Pekak Kekal 

4 Sep 2026 • 9:47 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Bunuh 4 Sekeluarga, Hukuman Mati Lelaki Bisu, Pekak Kekal 

PUTRAJAYA - Hukuman mati terhadap seorang lelaki pekak dan bisu yang didapati membunuh empat anggota sebuah keluarga dalam kejadian kebakaran rumah di Tanjung Sepat, Sepang, sembilan tahun lalu, dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan hari ini.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Noorin Badarudin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Kang Chang Heng, 47, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman mati yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 25 November 2025.

Mangsa terdiri daripada pasangan suami isteri warga emas, Chia Tee Nang, 73, dan Lim Mai Shak, 68, yang juga merupakan ibu bapa kepada teman wanita tertuduh, selain dua cucu mereka, Chia Yuan Bin dan Ryan Chia Zeng Xi, masing-masing berusia tiga dan sembilan tahun.

Tragedi itu turut disaksikan seorang lagi cucu pasangan berkenaan, Andrew Chia Zeng Haol, yang berusia 11 tahun ketika kejadian. 

Andrew terselamat daripada serangan menggunakan senjata tajam, namun menyaksikan sendiri rumah keluarganya terbakar serta mendengar jeritan mangsa yang terperangkap dan gagal menyelamatkan diri.

Dalam penghakiman sebulat suara, Noorin menyifatkan perbuatan Chang Heng sebagai kejam dan ganas.

Beliau berkata, keterangan di mahkamah menunjukkan tertuduh menyerang Lim Mai Shak ketika wanita itu berada di atas kerusi kayu, sebelum terus mengejarnya dan menyerang mangsa walaupun mangsa sudah terjatuh.

“Tertuduh kemudian menyerang Andrew dengan mengelar lehernya sebanyak dua kali sebelum sengaja membakar rumah tersebut,” katanya.

Noorin berkata serangan itu menyebabkan Andrew pengsan sebelum sedar semula dan mendapati rumah berkenaan telah terbakar.

Menurut beliau, panel hakim berpandangan keadaan tersebut menjadikan kes berkenaan jauh lebih serius berbanding kes pembunuhan biasa.

Mengulas kecacatan tertuduh, Noorin berkata perkara itu merupakan faktor yang relevan dalam menilai latar belakang peribadi serta pembelaannya.

Bagaimanapun, panel mendapati keadaan tersebut tidak menghalang tertuduh daripada berkomunikasi dengan orang lain menggunakan bahasa isyarat.

Mahkamah turut menolak dakwaan pembelaan bahawa tertuduh berada di rumah berkenaan selepas menerima maklumat mengenai kebakaran yang berlaku.

Noorin berkata, tertuduh sebelum ini mendakwa dia berada di situ selepas meminjam wang daripada seorang ah long, dengan menggunakan alamat rumah mangsa sebagai cagaran.

“Sekiranya benar tertuduh berada di situ dengan niat untuk menyelamatkan mangsa, dia boleh mendapatkan bantuan daripada orang awam.

“Mahkamah tidak menganggap keadaan pekak dan bisu itu sebagai faktor yang memburukkan kesalahan, namun ia juga tidak mencukupi untuk meringankan kesalahan sehingga mengatasi tahap keseriusan luar biasa kes ini,” katanya.

Menurut Noorin lagi, tertuduh sendiri mengakui tidak memberitahu teman wanitanya, Christina Chia Hui Ling yang juga saksi pendakwaan ke-22, bahawa dia berada di rumah keluarga wanita itu pada pagi kejadian.

Tertuduh juga mengakui tidak membuat laporan polis berhubung mesej yang didakwa diterimanya daripada ah long serta kejadian kebakaran berkenaan.

“Kami mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan semua elemen penting bagi kesemua pertuduhan melampaui keraguan munasabah.

“Oleh itu, kami mengekalkan hukuman mati yang dijatuhkan terhadap tertuduh,” katanya.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya How May Ling, manakala Chang Heng diwakili peguam Jasmine Cheong.

Mengikut fakta kes, polis pada 13 Disember 2017 percaya empat sekeluarga yang ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Tanjung Sepat merupakan mangsa pembunuhan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor ketika itu, SAC Fadzil Ahmat, berkata siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan akibat senjata tajam pada tubuh tiga daripada mangsa.

Chang Heng ditahan dua hari kemudian bagi membantu siasatan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa membunuh Tee Nang, Mai Shak, Yuan Bin dan Ryan di sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, antara jam 4 hingga 5 pagi pada 13 Disember 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun serta sekurang-kurangnya 12 sebatan jika hukuman mati tidak dikenakan.

Mahkamah Rayuan hari ini turut mengekalkan hukuman penjara sembilan tahun terhadap Chang Heng kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Andrew mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, pada 19 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi membebaskan dan melepaskan Chang Heng daripada empat pertuduhan membunuh serta satu pertuduhan mencederakan Andrew tanpa memerintahnya membela diri.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, pihak pendakwaan bertindak mengemukakan rayuan.

Pada 2 September 2024, Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan pembebasan berkenaan selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie, sebelum mengarahkan Chang Heng membela diri di Mahkamah Tinggi.

Pada 25 November 2025, Mahkamah Tinggi mendapati Chang Heng bersalah atas pertuduhan membunuh dan menjatuhkan hukuman mati, selain hukuman penjara kerana mencederakan Andrew. - Getaran, 4 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved