
PUTRAJAYA – Seorang lelaki kurang upaya (OKU) cacat pendengaran dan pertuturan kekal dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah Rayuan hari ini atas pertuduhan membunuh empat sekeluarga dalam kejadian kebakaran di Tanjung Sepat, Selangor lapan tahun lalu.
Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Noorin Badaruddin selepas menolak rayuan Kang Chang Heng, 46, untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi sebelum ini.
Selain hukuman mati, mahkamah turut mengekalkalkan penjara sembilan tahun terhadap perayu atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak dalam insiden itu.
Semasa prosiding, jurubahasa isyarat turut hadir pada prosiding bagi menterjemah apa yang berlaku di mahkamah kepada perayu.
Hakim Noorin dalam penghakimannya berkata, hakim Mahkamah Tinggi adalah betul apabila membuat kesimpulan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan kesemua elemen penting bagi kesemua pertuduhan melampaui keraguan munasabah.
“Kami tidak mendapati sebarang salah arah yang material, salah tafsir atau salah faham terhadap keterangan atau kesilapan prinsip yang mewajarkan campur tangan di peringkat rayuan. Oleh itu, kami mengekalkan hukuman mati yang dikenakan terhadap perayu,” katanya.
Menurut Hakim Noorin, mahkamah telah meneliti pembelaan perayu yang menyatakan beliau telah meminjam wang daripada seorang along dengan memberi alamat rumah mangsa sebagai cagaran dan perayu telah pergi ke rumah berkenaan selepas dimaklumkan kediaman itu telah dibakar.
“Hakim bicara (Mahkamah Tinggi) berhak untuk mengambil kira ketidakmunasabahan yang wujud pada pembelaan tersebut dan yang penting kegagalan perayu apabila dibandingkan dengan keterangan pihak pendakwaan.
“Perayu sendiri mengakui beliau tidak memberitahu saksi pendakwaan ke-22, yang beliau berada di rumah keluarganya pada pagi tersebut, walaupun perayu kemudiannya mengetahui ibu bapa Christina telah meninggal dunia dalam kebakaran itu. Perayu juga mengakui dia tidak membuat laporan polis mengenai mesej yang didakwa daripada along dan mengenai pembakaran rumah tersebut,” katanya.
Hakim Noorin berkata, kejadian itu merupakan suatu pembunuhan yang amat serius dan kejam dengan empat mangsa terdiri daripada dua warga emas serta dua kanak-kanak telah kehilangan nyawa dalam satu kejadian.
“Keterangan yang diterima oleh mahkamah bicara iaitu perayu menyerang seorang wanita warga emas ketika wanita tersebut berada di kerusi kayu, mengejar dan terus menyerangnya selepas wanita itu terjatuh. Perayu kemudian menyerang saksi pendakwaan pertama (SP1) yang merupakan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun dengan mengelar lehernya sebanyak dua kali, selain rumah tersebut dibakar dengan sengaja.
“SP1 terselamat namun mengalami keganasan fizikal yang serius dalam keadaan beliau merupakan saksi kepada kejadian tersebut. Keterangan SP1 bahawa selepas sedar semula, dia melihat api sedang marak dan mendengar jeritan mereka yang terperangkap di dalam rumah. Pada pandangan kami, keadaan ini menjadikan kes ini jauh lebih serius berbanding kes-kes pembunuhan biasa,” kata Hakim Noorin.
Mengenai keadaan perayu yang pekak dan bisu, Hakim Noorin berkata keadaan tersebut merupakan faktor yang relevan dalam mempertimbangkan pembelaannya.
“Bagaimanapun, berdasarkan keterangan yang dikemukakan kepada mahkamah, keadaan perayu tidak menghalangnya daripada berkomunikasi dengan orang lain melalui bahasa isyarat. Hakim bicara mendapati sekiranya beliau benar-benar berada di situ dengan tujuan untuk menyelamatkan mangsa, beliau boleh mendapatkan bantuan daripada orang yang melalui jalan tersebut,” katanya.
Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid dan Datuk Meor Hashimi Abdul Hamid.
Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya How Mei Ling manakala perayu diwakili Jasmine Cheong.
Pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi Shah Alam menjatuhi hukuman mati terhadap Chang Heng atas pertuduhan itu membunuh serta penjara sembilan tahun atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang kanak-kanak dalam insiden itu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Suriyati Hasimah Mohd. Hashim (yang kini Hakim Mahkamah Tinggi) mensabitkan Chang Heng atas kesalahan membunuh pasangan warga emas, Chia Tee Nang, 73, dan isterinya, Lim Mai Shak, 68, yang juga ibu bapa teman wanita tertuduh serta dua cucu mereka, Chia Yuan Bin, 3, dan Ryan Chia Zeng Xi, 9.
Kesalahan itu dilakukan di rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Kuala Langat, Selangor antara pukul 4 hingga 5 pagi pada 13 Disember 2017.
Bagi kesalahan itu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebat tidak kurang 12 kali sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati.
Selain hukuman mati, Chang Heng turut dijatuhi penjara sembilan tahun atas pertuduhan sengaja menyebabkan kecederaan kepada seorang lagi cucu pasangan itu, Andrew Chia Zeng Haol, ketika itu berusia 12 tahun, mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan pemenjaraa maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.
Chang Heng didakwa pada 15 Januari 2018, namun pada 19 Oktober 2022, Mahkamah Tinggi Shah Alam membebaskannya daripada semua pertuduhan tanpa memerintahkan beliau membela diri selepas pihak pendakwaan menutup kes.
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada 2 September 2024 membatalkan pembebasan itu dan memutuskan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie serta mengarahkan Chang Heng membela diri.
Kes kemudian dikembalikan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan Chang Heng ditangkap semula pada hari sama sebelum ditempatkan di Penjara Sungai Buloh.
Dalam penghakimannya, Hakim Suriyati berkata, masyarakat lazimnya bersimpati terhadap golongan OKU, namun tindakan tertuduh meruntuhkan kepercayaan itu.
Pada masa sama, pihak pendakwaan ketika itu menyifatkan kes itu sebagai ‘sangat jarang berlaku’ memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum kerana Chang Heng menyasarkan warga emas dan dua kanak-kanak yang tidak mampu mempertahankan diri sebagai mangsanya. – KOSMO! ONLINE
The post Lelaki pekak, bisu bunuh empat sekeluarga kekal dihukum gantung appeared first on Kosmo Digital.





.jpg)