Dua beradik antara lapan didakwa bunuh lelaki

4 Sep 2026 • 3:46 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Dua beradik antara lapan didakwa bunuh lelaki
Lapan lelaki termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap dihadapkan ke Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam pergaduhan di Taman Alam Megah di sini, bulan lepas. Foto Bernama

SHAH ALAM - Lapan lelaki termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki dalam pergaduhan di Taman Alam Megah di sini, bulan lepas.

Shaik Hasanudin Ahlauwudin, 26, dan adiknya Sheikh Mauludin, 24, serta Soulami Ahimsha, 46, S.R Harikrisnan, 42, M.K Puwaneswaran, 39, A Rhubban, 37, K. Thivagar, 29, dan R. Darvin Raj, 23, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Cynthia Noor Haizean Sulaiman.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama dengan lapan lagi yang masih bebas sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan bersama didakwa membunuh Ganesan, 23, di Jalan Mandolin, Taman Alam Megah di sini pada jam 1.59 tengah hari 25 Ogos.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 149 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 302 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dan sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Alya Zaphfirah Al Zaphni manakala tiga daripada lelaki itu diwakili peguam Navin Punj dan Nur Aida Md Zainuddin

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 13 Oktober untuk sebutan semula kes.

Pada 27 Ogos, Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar mengesahkan insiden pergaduhan membabitkan sekumpulan individu hingga menyebabkan seorang lelaki maut yang disyaki berpunca daripada permusuhan dan perebutan kawasan antara dua kumpulan kongsi gelap.- Bernama 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved