
SEREMBAN - Dua daripada tiga ahli keluarga yang ditahan berhubung serangan ke atas seorang lelaki berusia lingkungan 60-an sehingga menyebabkan mangsa maut pada 4 November lalu dijangka didakwa atas pertuduhan membunuh mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, arahan untuk mendakwa kedua-dua suspek, masing-masing seorang lelaki dan wanita, dikeluarkan oleh Timbalan Pendakwa Raya selepas meneliti kertas siasatan kes berkenaan.
Menurut beliau, seorang lagi suspek wanita yang sebelum ini direman tidak akan didakwa, sebaliknya akan dipanggil sebagai saksi pendakwaan.
"Dua suspek berkenaan akan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.
“Kertas siasatan dirujuk kepada pihak pendakwaan pada 13 November lalu untuk semakan dan arahan lanjut sebelum keputusan mendakwa kedua-dua individu itu dibuat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini. - Getaran, 16 November 2026






