
BATU PAHAT – Kerajaan Negeri Johor menegaskan bahawa tiada kompromi terhadap sebarang bentuk buli, keganasan atau perlakuan jenayah yang boleh mengancam keselamatan warga sekolah.
Sekolah mesti kekal sebagai tempat yang selamat untuk setiap anak Johor yang mana tempat mereka menimba ilmu, membina masa hadapan dan berada dalam persekitaran yang melindungi keselamatan serta kesejahteraan mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Md Ghazali berkata, kerajaan negeri memandang serius insiden berkenaan, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan keselamatan dan kebajikan murid di kawasan sekolah.
Katanya, pihaknya juga menyerahkan sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak berkuasa berkaitan untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh bagi mengenal pasti fakta serta keadaan sebenar yang membawa kepada kematian pelajar berkenaan.
“Mangsa yang dipercayai tinggal dengan neneknya datang ke sekolah sebelah petang menghadiri kelas tuisyen.
“Berita kehilangan mangsa yang dikenali sebagai Airin Sofea disedari neneknya selepas rakan mangsa bertanyakan mangsa berada di rumah atau tidak pada tengah hari tadi,” katanya melalui kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Muhammad Naqib berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Batu Pahat telah diminta untuk memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa sepanjang proses siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Bunuh pelajar: Tiada kompromi kes buli, kerajaan negeri serah siasatan pada polis appeared first on Kosmo Online.






