Keganasan di sekolah: Jangan tunggu nyawa seterusnya melayang – Akmal Saleh

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 5:52 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Keganasan di sekolah: Jangan tunggu nyawa seterusnya melayang – Akmal Saleh
Muhamad Akmal

SHAH ALAM - Keselamatan pelajar di sekolah perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama dan tidak wajar dijadikan isu politik yang hanya diperdebatkan antara pembangkang dan kerajaan, kata Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.

Beliau berkata, isu keganasan serius melibatkan pelajar tidak boleh terus dianggap sebagai kes terpencil dan kerajaan perlu bertindak segera dalam memastikan sekolah kekal sebagai tempat selamat.

Menurutnya, masyarakat juga tidak boleh hanya menunding jari kepada pihak lain tanpa mengambil tindakan.

"Sama ada kita pembangkang atau kerajaan, keselamatan anak-anak mesti ditangani bersama. Tidak ada seorang pun menteri yang mahukan kes bunuh atau keganasan berlaku di sekolah, namun kes seperti ini akan terus berleluasa jika semua pihak hanya menunggu orang lain bertindak.

"Ibu bapa, guru, sekolah, kerajaan dan masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing. Kita mesti berani melaporkan tanda-tanda ancaman, buli, ugutan serta perubahan tingkah laku yang membimbangkan.

"Jangan tunggu sehingga tragedi berlaku baru kita mahu bertanya siapa yang patut dipersalahkan," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Beliau mengulas tragedi terbaharu melibatkan kematian pelajar Tingkatan 4, Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal di sebuah sekolah di Yong Peng, Johor pada Sabtu.

Pada masa sama, Muhamad Akmal mengemukakan lima langkah segera yang dibincangkan menerusi Rundingan Meja Bulat Nasional (RIMBUN) 1.0 awal tahun ini dalam memperkukuhkan keselamatan dan disiplin di sekolah.

"Pertama kembalikan autoriti disiplin kepada guru, termasuk hukuman merotan secara terkawal agar guru tidak boleh dibiarkan takut untuk mendisiplinkan pelajar.

"Hukuman mestilah mengikut prosedur, berasas dan tidak keterlaluan tetapi sekolah juga tidak boleh kehilangan kuasa untuk membentuk disiplin," ujar beliau.

Katanya, Akta Perlindungan Guru dan Murid perlu diwujudkan agar kedua-dua pihak dilindungi daripada sebarang tindakan yang melampaui batas.

Selain itu, Muhamad Akmal turut mencadangkan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) secara menyeluruh di kawasan strategik sekolah.

"Jangan hanya mencari rakaman selepas tragedi berlaku. Gunakan teknologi untuk mencegah tragedi sebelum ia berlaku," katanya.

Beliau turut menyarankan pemantauan ketat terhadap kandungan yang mengagungkan budaya samseng, pergaduhan, buli dan keganasan dalam kalangan pelajar.

Bagi langkah terakhir, Muhamad Akmal berpandangan supaya sistem pengesanan awal pelajar berisiko dapat diperkukuhkan.

"Guru disiplin, kaunselor dan pentadbir sekolah perlu mempunyai mekanisme yang jelas untuk mengenal pasti ancaman, pergaduhan, buli, ugutan atau perubahan tingkah laku yang membimbangkan sebelum keadaan menjadi lebih buruk," katanya.

Muhamad Akmal yang juga penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau menasihatkan ibu bapa perlu lebih peka terhadap perubahan emosi dan tingkah laku anak-anak serta tidak menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab kepada pihak sekolah.

"Isunya hari ini bukan mencari siapa yang hendak dipersalahkan. Isunya ialah adakah kita mahu bertindak sebelum berlaku kematian seterusnya, atau hanya bertindak selepas semuanya terlambat?

"Nyawa anak-anak bukan bahan eksperimen dasar dan bukan juga isu untuk dijadikan modal politik semata-mata. Jangan tunggu ada lagi ibu bapa kehilangan anak baru kita mahu berubah," tegasnya.

Tambah beliau, sekolah seharusnya menjadi tempat untuk membina masa depan anak-anak, bukannya lokasi yang mempertaruhkan nyawa dan keselamatan mereka.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved