Jangan politik, tiada satu menteri mahu keganasan berlaku di sekolah – Dr. Akmal

LocalPolitics
4 Oct 2026 • 5:38 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Jangan politik, tiada satu menteri mahu keganasan berlaku di sekolah – Dr. Akmal

PETALING JAYA – Isu keganasan di sekolah tidak seharusnya dijadikan bahan politik kerana tiada seorang pun menteri mahu kejadian yang mengancam keselamatan atau meragut nyawa pelajar berlaku.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh berkata, keselamatan pelajar perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama tanpa mengira sama ada seseorang itu daripada kerajaan atau pembangkang.

“Tidak ada seorang pun menteri yang mahukan kes bunuh atau keganasan berlaku di sekolah.

“Namun, kes seperti ini akan terus berleluasa jika semua pihak hanya menunggu orang lain bertindak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, kerajaan sememangnya perlu mengambil tindakan segera, namun masyarakat juga tidak boleh hanya menuding jari kepada kerajaan, menteri atau pihak sekolah setiap kali berlaku kejadian membabitkan disiplin dan keselamatan pelajar.

Katanya, ibu bapa juga mempunyai tanggungjawab untuk mendidik dan memantau anak-anak serta tidak menyerahkan sepenuhnya tugas berkenaan kepada pihak sekolah.

“Isu keselamatan anak-anak bukan isu politik yang hanya perlu diperdebatkan antara pembangkang dan kerajaan.

“Sama ada kita pembangkang atau kerajaan, keselamatan anak-anak mesti ditangani bersama,” katanya.

Akmal berkata, semua pihak perlu berani melaporkan tanda-tanda ancaman, buli, ugutan serta perubahan tingkah laku yang membimbangkan sebelum keadaan menjadi lebih serius.

Beliau turut menggesa beberapa langkah pencegahan diberi perhatian, termasuk memperkukuh autoriti disiplin guru, mewujudkan perlindungan undang-undang untuk guru dan murid serta memasang CCTV di kawasan strategik sekolah.

Selain itu, sistem pengesanan awal pelajar berisiko dan pemantauan terhadap kandungan yang mengagungkan budaya samseng, pergaduhan, buli serta keganasan juga perlu diperkasakan.

“Isunya hari ini bukan mencari siapa yang hendak dipersalahkan.

“Isunya ialah adakah kita mahu bertindak sebelum berlaku kematian seterusnya, atau hanya bertindak selepas semuanya terlambat?” katanya.

Akmal menegaskan nyawa dan keselamatan pelajar tidak wajar dijadikan modal politik, sebaliknya semua pihak perlu berganding bahu memastikan sekolah kekal sebagai tempat selamat untuk anak-anak.- KOSMO! ONLINE

The post Jangan politik, tiada satu menteri mahu keganasan berlaku di sekolah – Dr. Akmal appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved