‘Bunyi macam air terjun sebelum tebing tanah runtuh’

LocalEnvironment
30 Jul 2026 • 5:26 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: ‘Bunyi macam air terjun sebelum tebing tanah runtuh’

KULIM – Penduduk di Taman Kulim Square, Lunas di sini dikejutkan dengan kejadian tebing tanah runtuH yang berlaku awal pagi ini sehingga mengakibatkan laluan di kawasan perumahan berkenaan dipenuhi tanah dan lumpur.

Penduduk, P. Jaya, 35, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, dia sedang tidur sebelum seorang jiran menghubungi bagi memaklumkan kejadian.

Menurut suri rumah itu, dia terus membuka pintu rumah sebelum mendapati runtuhan tanah berlaku kira-kira lapan meter dari pagar kediamannya.

“Saya terkejut melihat pokok yang tumbang serta tanah runtuh di jalan yang terletak di tepi rumah. Ada jiran beritahu mereka terdengar bunyi kuat seperti air terjun sebelum kejadian runtuhan berlaku.

“Saya rasa lega kerana pihak berkuasa bertindak pantas membersihkan kawasan runtuhan. Rumah saya antara yang paling hampir dengan lokasi kejadian, namun runtuhan tidak sampai ke rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Lunas, Khairul Anuar Ramli berkata, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan dan telah diserahkan kepada agensi yang mempunyai bidang kuasa.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awal, kejadian dipercayai berpunca daripada kawasan tangki air Syarikat Air Darul Aman (SADA) di puncak Bukit Kukus serta aliran air semula jadi, namun perkara itu masih memerlukan siasatan terperinci.

“Kita serahkan kepada agensi yang mempunyai kuasa untuk menilai dan menentukan punca sebenar. Fokus utama ketika ini ialah membersihkan kawasan supaya laluan dapat dibuka semula dengan selamat,” ujarnya.

Beliau turut meminta pihak Majlis Perbandaran Kulim menutup sementara kawasan yang terjejas berikutan struktur tanah masih tidak stabil dan dikhuatiri boleh menyebabkan runtuhan susulan.

“Keselamatan penduduk adalah keutamaan. Sebelum sebarang tindakan lain diambil, kita perlu memastikan kawasan ini benar-benar selamat,” katanya. – KOSMO! ONLINE

The post ‘Bunyi macam air terjun sebelum tebing tanah runtuh’ appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved