
KUALA SELANGOR – Perjalanan seorang pemuda ke tempat kerjanya berakhir tragedi apabila maut selepas motosikal ditunggangnya melanggar seekor lembu di Jalan Dato Miskun, Jeram di sini hari ini.
Kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 7.30 pagi dengan mangsa berusia 22 tahun maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajuddin berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja dari arah Jeram menghala ke Kapar.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa telah melanggar seekor lembu yang melintas di laluannya.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat telah dihantar ke hospital Tanjong Karang untuk bedah siasat dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi Bilik Gerakan IPD Kuala Selangor di talian 03-3289 1222 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE
The post Pemuda maut langgar lembu melintas appeared first on Kosmo Digital.






