KUALA KANGSAR - Seorang warga emas maut manakala seorang pelajar cedera selepas motosikal yang mereka tunggang secara berasingan melanggar sebatang pokok tumbang yang menghalang jalan berhampiran Kampung Senggang, berdekatan Sungai Perak di sini pada Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.58 pagi itu, mangsa yang maut ialah lelaki berusia 72 tahun manakala seorang pelajar lelaki berusia 17 tahun mengalami kecederaan.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 6.58 pagi.
Menurutnya, sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi.
**media[3599324]**
"Sebaik tiba di lokasi pada jam 7.16 pagi, didapati kemalangan melibatkan dua motosikal iaitu Yamaha LC dan Yamaha Lagenda yang melanggar sebatang pokok tumbang yang menghalang laluan.
"Seorang mangsa lelaki berusia 17 tahun telah dibawa ke hospital oleh ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sebelum ketibaan bomba manakala seorang lagi mangsa lelaki berusia 72 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas KKM," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sabarodzi berkata, anggota bomba kemudian melakukan pemantauan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada lagi risiko bahaya sebelum lokasi diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, operasi dikawal pada jam 7.21 pagi dan ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.46 pagi.






