Bursa Malaysia jalin kerjasama mudahkan penyenaraian ETF dengan asas asing

LocalBusiness & Finance
29 May 2025 • 4:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Bursa Malaysia jalin kerjasama mudahkan penyenaraian ETF dengan asas asing

image is not available

29/05/2025 - 16:36

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Mei - Bursa Malaysia Bhd memeterai menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Fullgoal Asset Management (HK) Ltd yang berpusat di Shanghai dan penyedia perkhidmatan kewangan CGS International Securities Malaysia Sdn Bhd bagi memudahkan penyenaraian Dana Dagangan Bursa (ETF) dengan asas asing di Bursa Malaysia.

Kerjasama tiga pihak ini, yang diumumkan di Forum Perniagaan Asean 2025, bertujuan untuk memperluaskan pilihan pelaburan yang tersedia untuk pelabur Malaysia dan meningkatkan akses ke pasaran global.

Usaha itu termasuk inisiatif berstruktur yang memberi tumpuan kepada pembangunan ekosistem, penglibatan pemegang kepentingan, dan pendidikan pelabur — termasuk Cabaran ETF yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam dan penyertaan terutamanya dalam kalangan pelabur runcit.

Bursa Malaysia kini menempatkan 17 ETF yang diterbitkan oleh enam pengurus dana, dengan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) sebanyak kira-kira RM2.4 bilion.

"Kerjasama ini menandakan satu langkah penting dalam mengembangkan landskap ETF Malaysia, menawarkan pelabur kami kepelbagaian yang lebih besar dan akses kepada peluang global.

"Inisiatif ini mengukuhkan kedudukan Bursa Malaysia sebagai pintu masuk pelaburan, menghubungkan Malaysia dengan pasaran kewangan global," kata Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad'l Mohamed dalam satu kenyataan, hari ini.

Fullgoal HK, yang ditubuhkan pada 2012 merupakan anak syarikat milik penuh Fullgoal Fund Management Company Limited (Fullgoal Fund), yang berpusat di Shanghai, China.

Firma itu menyediakan pelbagai strategi, termasuk ekuiti All-China, pendapatan tetap, dan pelaburan ekuiti kuantitatif. Fullgoal Fund kini menguruskan lebih daripada AS$230 bilion (RM972.65 bilion) dalam aset.

CGS International Securities Pte Ltd merupakan penyedia perkhidmatan kewangan yang terintegrasi.

Perkhidmatan itu termasuk dagangan ekuiti, pengurusan kekayaan, perbankan pelaburan, penyelidikan ekuiti, pembiayaan patuh syariah, dan produk berstruktur, antara lain.

CGS International beroperasi di lebih 15 negara dan kawasan, memanfaatkan kedua-dua pandangan pasaran global dan ASEAN.- DagangNews.com

standard