MTC Orec jalin kerjasama strategik dengan IHI Plant bangunkan industri biojisim Malaysia

28/05/2025 - 15:51
Majlis menandatangani MoU antara MTC OREC dan IHI Plant Services sempena Expo 2025 di Osaka, Kansai, Jepun. Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 28 Mei – MTC Orec Sdn Bhd (MTCO) memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan IHI Plant Services Corporation (IPC), anak syarikat Kumpulan IHI Jepun bagi membangunkan industri biojisim dan biometana Malaysia.
Kerjasama itu dimeterai 12 Mei 2025 sempena Expo 2025 di Osaka, Jepun, sebagai komitmen bersama memperkasa rumusan tenaga mampan merentasi sempadan.
Ketua Pegawai Eksekutif MTCO, Dr Zahari Mohamad berkata, kerjasama itu menandakan langkah penting dalam pembangunan biometana negara.
"Kami berbesar hati menerajui inisiatif ini dan menghargai kepercayaan rakan serta pihak berkepentingan dalam menjayakan visi ini," katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Presiden IPC, Aoki berkata, teknologi kedua-dua pihak adalah serasi dan mampu menangani isu alam sekitar serta menghasilkan produk bernilai tambah.
"Inisiatif ini dijangka meningkatkan kelestarian industri minyak sawit, antara sektor utama di Asia Tenggara," katanya.
Kedua-dua pihak akan membangunkan sistem pelbagai pencerna (multi-digester system) yang menggabungkan kolam anaerobik dan teknologi reaktor IC milik IPC bagi mengoptimumkan penjanaan biogas daripada efluen kilang minyak sawit (POME).
Gas yang dikumpul akan diperhalus menjadi biometana, bahan api bersih berkualiti tinggi setanding gas asli dengan lebih 90% karbon yang lebih rendah.
Inisiatif itu dijangka memberi impak besar kepada alam sekitar dan industri kerana ia membantu kilang minyak sawit meningkatkan rawatan efluen, mematuhi piawaian peraturan, dan mengurangkan jejak ekologi.
Biometana juga membolehkan penghasilan produk hiliran seperti biometana cecair, bio-ammonia, dan bio-metanol yang semakin penting dalam sektor maritim dan penerbangan.
Kerjasama itu mengukuhkan kedudukan MTCO sebagai pemacu perubahan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) serantau melalui rumusan bersepadu untuk menangani cabaran iklim dan membina masa depan tenaga mampan.- DagangNews.com
standard
