Firma Arab ACWA Power jalin kerjasama dengan syarikat Malaysia, rancang pelaburan RM47 billion menjelang 2040

28/05/2025 - 18:13
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 28 Mei – ACWA Power dari Arab Saudi merancang pelaburan sehingga AS$10 bilion (RM47 bilion) di Malaysia menjelang 2040.
Pelaburan itu susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) dan perjanjian kerjasama strategik dengan beberapa syarikat utama Malaysia sempena Sidang Kemuncak ASEAN-GCC di sini.
Kerjasama tersebut merangkumi pembangunan kapasiti penjanaan tenaga mencecah 12.5GW, selari dengan sasaran Malaysia untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu kepada 70% menjelang 2050 seperti digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR).
Ketua Pegawai Eksekutif ACWA Power, Marco Arcelli berkata, kerjasama itu menandakan perkembangan penting syarikat tersebut ke pasaran Asia Tenggara serta membuktikan komitmennya dalam menyokong agenda peralihan tenaga di rantau ini.

"Dengan menggabungkan kepakaran global kami dalam tenaga boleh baharu, rumusan air dan hidrogen hijau bersama pengetahuan tempatan rakan Malaysia akan mempercepat penggunaan rumusan bersih, pemindahan teknologi, dan penciptaan pekerjaan.
"Ia juga akan memacu pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan sosial masyarakat setempat.
"Perkongsian ini menjadi bukti kepada visi bersama ke arah masa depan yang mampan," katanya dalam satu kenyataan.

Antara pihak yang terlibat ialah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Terengganu Inc, dan UEM Lestra.
ACWA Power dan MIDA menandatangani MoU bagi meneroka projek tenaga boleh baharu termasuk tenaga solar terapung dan turbin gas kitaran gabungan (CCGT).

Perjanjian dengan TNB, Terengganu Inc, dan UEM Lestra pula melibatkan kajian kebolehlaksanaan dan pembangunan bersama pelbagai projek tenaga serta penyahgaraman air berskala besar.
Dengan operasi di 14 negara dan jumlah pelaburan melebihi AS$107.5 billion (RM505.25 bilion), ACWA Power terus memacu kepimpinan global dalam sektor tenaga melalui teknologi terkini dan perkongsian strategik sejajar Wawasan 2030 Arab Saudi.- DagangNews.com
standard



