
KUALA LUMPUR: Selepas lima dekad membangunkan pasaran modal negara, Bursa Malaysia mempunyai ruang lebih besar untuk memacu pertumbuhan syarikat tempatan, khususnya membantu perniagaan bersaiz sederhana berkembang menjadi juara serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, masih banyak perniagaan tempatan berpotensi tinggi yang kekal kecil untuk tempoh terlalu lama, sekali gus memerlukan sokongan lebih menyeluruh bagi mengembangkan operasi dan meningkatkan daya saing.
Menurutnya, Bursa Malaysia boleh memainkan peranan lebih besar dalam membantu syarikat berkenaan mengembangkan perniagaan, mendapatkan akses kepada pembiayaan menerusi pasaran modal dan seterusnya disenaraikan di bursa.
“Jika usaha itu berjaya, kita sepatutnya melihat lebih banyak perniagaan Malaysia berkembang, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan dan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kepentingan dalam kemajuan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Coffee Table Book sempena Ulang Tahun Ke-50 Bursa Malaysia, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Pengerusi Bursa Malaysia, Tan Sri Abdul Farid Alias; Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Datuk Mohammad Faiz Azmi.
Anwar berkata, pasaran modal perlu mengekalkan kepercayaan pelabur menerusi tadbir urus yang baik dan peraturan yang adil, selain memastikan syarikat yang mendapatkan pelaburan daripada rakyat Malaysia berurusan secara jujur.
Katanya, pasaran modal negara telah melalui pelbagai cabaran termasuk krisis kewangan dan pandemik, namun terus menyokong aliran pelaburan serta pemulihan ekonomi.
Dalam pada itu, beliau menggesa syarikat tempatan meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai industri semikonduktor, pembuatan termaju dan teknologi digital bagi membolehkan mereka bersaing di peringkat antarabangsa.
Katanya, kerajaan turut memperkukuh tadbir urus dan disiplin fiskal bagi meningkatkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan.
“Pada separuh pertama tahun ini, Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion. Di bawah kerangka Ekonomi Madani, kita menyasarkan untuk meningkatkan siling pencapaian ekonomi negara sambil menaikkan lantai taraf hidup rakyat,” katanya. – UTUSAN
The post Bursa Malaysia perluas peranan lahirkan lebih banyak juara serantau appeared first on Utusan Malaysia.






