Bursa Malaysia digesa bantu lebih banyak syarikat tempatan jadi juara serantau – PM Anwar 

LocalBusiness & Finance
30 Oct 2026 • 7:32 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Bursa Malaysia digesa bantu lebih banyak syarikat tempatan jadi juara serantau – PM Anwar 

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa Bursa Malaysia Bhd membantu lebih banyak syarikat Malaysia berkembang menjadi juara serantau, sambil menyatakan terlalu banyak perniagaan yang berpotensi tetapi kekal kecil untuk tempoh yang terlalu lama.

“Saya ingin lihat lebih banyak syarikat bersaiz sederhana berkembang, disenaraikan di bursa dan menjadi juara serantau. Terlalu banyak syarikat yang baik tetapi masih kecil untuk jangka masa yang panjang. 

“Bursa Malaysia berperanan membantu mereka mengambil langkah seterusnya. Jika usaha itu berjaya, kita sepatutnya melihat lebih banyak perniagaan Malaysia berkembang, lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti diwujudkan dan lebih ramai rakyat Malaysia memiliki kepentingan dalam kemajuan negara,” katanya dalam ucaptama pada majlis sambutan ulang tahun Bursa Malaysia ke-50.

Turut hadir, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Farid Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Datuk Fad’l Mohamed dan Pengerusi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) Datuk Mohammad Faiz Azmi.

Anwar menambah perniagaan Malaysia yang berkembang dapat mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia menikmati manfaat daripada kemajuan negara.

Beliau turut menekankan pentingnya kepercayaan dan keadilan dalam pasaran modal, sambil berkata syarikat yang mendapat pelaburan daripada rakyat Malaysia mesti berurusan dengan mereka secara jujur.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pasaran Malaysia akan berdepan persekitaran global yang sentiasa berubah-ubah, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, perubahan dan kepantasan teknologi serta peralihan tenaga.

“Pasaran telah melalui tahun-tahun yang sukar. Krisis kewangan dan pandemik menguji kemampuan syarikat, pelabur dan pengawal selia. Walaupun melalui semua cabaran itu, pasaran modal terus menjalankan fungsinya. Ia memastikan aliran pelaburan berterusan dan membantu ekonomi negara untuk pulih,” tambah beliau.

Anwar dalam pada itu turut menggesa syarikat-syarikat Malaysia supaya bergerak ke tahap lebih tinggi dalam rantaian nilai termasuk industri semikonduktor, pembuatan termaju dan teknologi digital bagi membolehkan mereka bersaing dengan penuh keyakinan di peringkat antarabangsa.

Perdana Menteri berkata kerajaan juga turut berusaha bersungguh-sungguh dalam aspek tadbir urus dan disiplin fiskal, di samping menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.

“Usaha ini sebenarnya mula membuahkan hasil. Pada separuh pertama tahun ini, Malaysia mencatatkan pelaburan diluluskan berjumlah RM218.5 bilion. Di bawah kerangka Ekonomi MADANI, kita menyasarkan untuk meningkatkan siling pencapaian ekonomi negara sambil pada masa yang sama menaikkan lantai taraf hidup rakyat,” tambah beliau.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved