amree30/10/2026 - 10:10 ANWAR Ibrahim ketika berucap pada majlis makan malam sempena ulang tahun ke-50 Bursa Malaysia di Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 30 Okt — Terlalu banyak syarikat tempatan berpotensi kekal kecil terlalu lama, sekali gus memerlukan peranan lebih besar Bursa Malaysia Berhad untuk membantu perusahaan bersaiz sederhana berkembang menjadi jaguh serantau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, lebih banyak syarikat sederhana perlu diberi peluang untuk berkembang, disenaraikan di pasaran saham dan seterusnya memperkukuh kedudukan sehingga di peringkat Asia Tenggara.
Beliau menambah, kejayaan usaha itu bukan sahaja dapat melahirkan banyak perniagaan Malaysia yang berkembang maju, malah membuka peluang pekerjaan bermutu dan membolehkan lebih ramai rakyat berkongsi manfaat kemajuan ekonomi negara.
“Bursa mempunyai peranan membantu mereka mengambil langkah seterusnya. Jika berjaya, kita akan melihat lebih banyak perniagaan Malaysia berkembang, pekerjaan berkualiti diwujudkan dan ramai rakyat memiliki kepentingan dalam kemajuan negara,” jelasnya.
Beliau menyatakan perkara tersebut dalam ucaptama pada sambutan ulang tahun ke-50 Bursa Malaysia yang berlangsung di ibu negara pada Khamis.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menekankan kepentingan kepercayaan dan keadilan dalam pasaran modal, dengan menegaskan syarikat yang mendapatkan pelaburan daripada rakyat Malaysia perlu berurusan secara jujur.

Menurut beliau lagi, pasaran Malaysia turut berdepan dengan persekitaran global yang semakin berubah pantas, dipengaruhi oleh faktor ketegangan geopolitik, perubahan teknologi baharu dan peralihan tenaga semasa.
"Pasaran modal negara ini sudah lama mengharungi pelbagai cabaran termasuk krisis kewangan dan era pandemik, namun masih lagi dapat terus memainkan peranan mengekalkan aliran pelaburan serta membantu pemulihan ekonomi," katanya.
Anwar turut menggesa syarikat Malaysia meningkatkan kedudukan dalam rantaian nilai, khususnya sektor semikonduktor, pembuatan termaju dan teknologi digital bagi membolehkan bersaing dengan lebih yakin di pasaran antarabangsa.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan telah memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh tadbir urus dan disiplin fiskal, selain menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik untuk kemasukan modal perniagaan.
Katanya, usaha berkenaan menunjukkan perkembangan positif apabila Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM218.5 bilion pada separuh pertama tahun ini, dan menyasarkan peningkatan potensi ekonomi negara seiring usaha meningkatkan taraf hidup rakyat. - DagangNews.com






