Buruh dilepas, dibebaskan daripada tuduhan edar methamphetamine

LocalPolitics
24 Mar 2026 • 3:33 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mahkamah Rayuan membebaskan seorang buruh daripada pertuduhan mengedar 66.93 gram methamphetamine.

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan melepas dan membebaskan seorang buruh daripada pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 366.93 gram.

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Mohamed Zaini Mazlan, Datuk Hayatul Akmal Abdul Aziz dan Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid telah membenarkan rayuan Mohd Aduka Muhamad untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu yang telah mendapati dia bersalah terhadap tuduhan itu dan menjatuhkan hukuman 30 tahun serta 12 sebatan. 

Dalam alasan penghakiman bertarikh 18 Mac lepas, Hakim Mohd Radzi berkata, terdapat keraguan mengenai di mana beg mengandungi dadah itu sebenarnya dijumpai, serta sama ada perayu mempunyai jagaan, kawalan atau pengetahuan terhadap dadah berkenaan.

"Terdapat alasan untuk menyokong dapatan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan satu prima facie dan perayu tidak seharusnya diperintahkan membuat pembelaan terhadap pertuduhan,” kata beliau dalam alasan penghakiman setebal 33 muka surat yang dimuat naik di laman web kehakiman.

Beliau juga berkata, terdapat beberapa percanggahan yang telah menyebabkan kelompangan material di dalam pembuktian kes pendakwaan pada peringkat kes pendakwaan.

Hakim Mohd Radzi berkata, hakim Mahkamah Tinggi telah khilaf apabila gagal membuat penilaian kritikal terhadap isu milikan dan pengetahuan perayu yang disandarkan kepada perbuatan melarikan diri dan keberadaan kad pengenalan perayu di dalam beg.

Pada 26 Jun 2024, Mahkamah Tinggi mendapati Mohd Aduka, 41, bersalah mengedar dadah berkenaan di tepi jalan Lorong Teja 4, Kampung Gong Beris, Pulau Kerengga, Marang, Terengganu pada pukul 9 malam, 4 Mei 2021.

Mohd Aduka dijatuhi hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan rotan.

Menurut fakta kes yang dikemukakan pendakwaan, semasa pihak polis membuat rondaan telah melihat perayu sedang duduk di atas sebuah motosikal. 

Seorang anggota polis telah cuba menahan perayu dengan memegang bahunya sambil memperkenalkan diri sebagai polis, dan perayu cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap.

Setelah melakukan pemeriksaan fizikal ke atas perayu, menjumpai satu beg galas mengandungi beberapa bungkusan plastik lutsinar berisi serbuk atau ketulan disyaki dadah.

Pada 6 Mei 2021, ahli kimia yang telah melakukan analisis terhadap serbuk/ketulan kristal mengesahkan bahan tersebut ialah dadah jenis methamphetamine. - Bernama