Padah Hina Agama Sendiri, Lelaki Pijak al-Quran Dipenjara 9 Bulan

LocalPolitics
19 Mar 2026 • 2:32 PM MYT
Borak Daily
Borak Daily

Curious & progressive. Bringing you the latest lifestyle & entertainment news

Seorang lelaki menerima hukuman penjara sembilan bulan selepas mengaku bersalah memijak al-Quran dalam satu kejadian yang berlaku bulan lalu.

Mengaku bersalah

Keputusan itu dibuat oleh Mahkamah Majistret di sini selepas tertuduh, Amir Abdul Malik, 41, mengaku melakukan perbuatan tersebut dengan niat menghina agama Islam.

Menurut pertuduhan, lelaki berkenaan memuat naik rakaman dirinya memijak al-Quran di Kampung Durian Daun, Masjid Tanah pada 28 Februari lalu.

image is not available

Dia didakwa di bawah Seksyen 295 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pengarah Pendakwaan Negeri Nahra Dollah bersama Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Abdullah Wan Radzlad, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kerajaan, Ishak Kari.

image is not available

Terdahulu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dikenakan memandangkan perbuatan itu dianggap serius, apatah lagi dilakukan oleh seorang Muslim terhadap agamanya sendiri.

Peguam bela pula memohon agar hukuman penjara bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 15 Mac.

image is not available

Dalam penghakimannya, Majistret menegaskan perbuatan tertuduh adalah serius kerana menyentuh sensitiviti umat Islam serta berpotensi menjejaskan keharmonian masyarakat.

“Penghinaan terhadap mana-mana agama, sama ada Islam atau bukan Islam, berpotensi membawa kerosakan yang jauh lebih besar berbanding kecederaan fizikal kerana ia menyentuh maruah serta hak eksklusif yang dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Artikel lain: Kes Pijak Al-Quran: Mualaf? Tiada Rekod Pengislaman Di Pahang – MUIP

Beliau turut menambah bahawa perbuatan tersebut lebih membimbangkan kerana dilakukan dalam bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi ruang untuk meningkatkan keimanan dan amalan kebaikan.

Mahkamah kemudiannya memerintahkan hukuman penjara dijalankan bermula dari tarikh tertuduh ditangkap.

Sumber: Bernama 

The post Padah Hina Agama Sendiri, Lelaki Pijak al-Quran Dipenjara 9 Bulan appeared first on Borak Daily.