Bela dua anjing tanpa lesen, pemilik didakwa di mahkamah

18 Mar 2026 • 4:09 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Seorang individu didakwa di mahkamah kerana memelihara dua anjing tanpa lesen sah di Kuala Langat. Foto hiasan

KUALA LANGAT - Seorang individu yang memelihara dua anjing tanpa lesen sah daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) dihadapkan ke Mahkamah Telok Datok di sini pada Rabu.

Berdasarkan pertuduhan, dia selaku orang kena saman (OKS) dituduh memelihara anjing tersebut di rumahnya di Bandar Rimbayu, Telok Panglima Garang di sini.

Dia didakwa mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) 3(1), UUK Perlesenan Anjing dan Rumah Pembiakan Anjing (Majlis Daerah Kuala Langat) 2007.

Bagaimanapun Majistret, Maslinda Selamat membenarkan permohonan OKS supaya mahkamah menarik balik saman berkenaan selepas dia memberitahu telah menjelaskan kompaun di MPKL.

Pendakwaan dalam kes terbabit, dikendalikan Pegawai Pendakwa MPKL, Hasrizal Abd Rahim.

Sementara itu, dalam kenyataan media, MPKL mengingatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang sedia ada supaya tidak dikenakan tindakan.