AMD Ryzen 9000X3D Akan Dilancarkan Pada 7 November Ini

TechnologyDigital
22 Oct 2024 • 3:44 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Sebelum ini kami telah melaporkan bahawa AMD dilihat akan memperkenalkan siri cip pemprosesan desktop terbaru mereka, AMD Ryzen 9000X3D ke pasaran tidak lama selepas Intel melancarkan siri cip pemprosesan Intel Arrow Lake-S mereka.

Jangkaan orang ramai nampaknya tidak begitu jauh kerana AMD sendiri kini telah mengesahkan bahawa mereka akan melancarkan siri cip pemprosesan tersebut pada 7 November 2024 ini. Siri cip pemprosesan AMD Ryzen X3D secara lazimnya hadir dengan memori cache yang lebih tinggi, dan untuk model yang dijangka akan diperkenalkan tidak lama lagi, iaitu AMD Ryzen 7 9800X3D, ia dijangka akan hadir dengan jumlah memori cache setinggi 105MB.

image is not available

Penambahan V-Cache ini dilihat penting khususnya untuk mereka yang mahu membina komputer untuk tujuan gaming, supaya pengguna boleh mendapatkan kadar bingkai dalam permainan yang lebih tinggi.

Bercakap tentang model-model CPU Ryzen 9000X3D yang akan dilancarkan, butiran khas mengenai penawaran pusingan pertama ini tidak diketahui lagi, dan setakat ini, butiran mengenai AMD Ryzen 7 9800X3D juga nampaknya hanya akan disahkan sewaktu acara pelancaran pada awal bulan depan.

Dalam pada itu, AMD juga telah mengumumkan penurunan harga untuk siri CPU generasi sebelum ini, khususnya AMD Ryzen 7000X3D, yang secara rata-ratanya dinobatkan siri CPU terbaik untuk binaan PC gaming sebelum ini. Kami sedang menunggu pengesahan dari pihak AMD Malaysia dan telah bertanya sekiranya tanda harga untuk pasaran tempatan juga turut diturunkan.