
KUALA LUMPUR, 20 Julai 2026 – BYD Sime Motors secara rasmi melancarkan BYD Certified, program kenderaan elektrik (EV) terpakai rasmi pertama BYD di Malaysia yang menawarkan pengalaman pemilikan lebih selamat, telus dan diyakini. Pelancaran ini turut menyaksikan pembukaan pusat BYD Certified pertama di rantau Asia Pasifik yang terletak di Sime Darby Auto Selection Glenmarie.
Program ini diwujudkan bagi meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pasaran EV terpakai menerusi proses pemeriksaan profesional, penilaian kesihatan bateri yang disahkan, perlindungan waranti, kemudahan pembiayaan serta sokongan selepas jualan yang komprehensif. Ia sekali gus menawarkan laluan lebih mudah kepada rakyat Malaysia untuk memiliki sebuah EV berkualiti.

Majlis pelancaran turut mencatat sejarah apabila sebuah BYD ATTO 3 terpakai menjadi kenderaan pertama diserahkan kepada pelanggan menerusi program BYD Certified, menandakan permulaan baharu dalam pasaran EV terpakai bertauliah di negara ini.
Menurut Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma, program ini membuka peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki EV dengan sokongan profesional dan jaminan yang lebih menyeluruh sepanjang tempoh pemilikan. Manakala Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew berkata setiap kenderaan melalui pemeriksaan ketat oleh juruteknik terlatih serta disokong rekod sejarah kenderaan, laporan kesihatan bateri dan perlindungan waranti.
Bagi memastikan setiap kenderaan memenuhi standard tinggi, BYD Certified memperkenalkan lima jaminan utama, iaitu pemeriksaan menyeluruh sebanyak 170 titik, had perbatuan maksimum 100,000 km, usia kenderaan tidak melebihi empat tahun, rekod bebas kemalangan besar, banjir atau kebakaran, serta penggunaan alat ganti tulen BYD bagi sebarang kerja pembaikan.
Selain itu, pelanggan turut menikmati pelbagai kelebihan termasuk jaminan pembelian semula dalam tempoh lima hari sekiranya terdapat kerosakan struktur, banjir atau kebakaran yang tidak didedahkan sebelum pembelian. Program ini juga disokong oleh rangkaian pusat 3S sah BYD di seluruh negara serta platform tukar beli khas untuk pemilik BYD sedia ada yang ingin menaik taraf kepada model lebih baharu.
BYD Certified turut menawarkan pengalaman sehenti yang merangkumi pembelian kenderaan, pengesahan pensijilan, urusan tukar beli, pembiayaan, perlindungan waranti dan servis selepas jualan. Lebih menarik, pelanggan boleh menikmati kadar pembiayaan serendah 2.03%, sekali gus menjadikan pemilikan EV berkualiti lebih mampu milik.
Program ini dilihat sebagai satu langkah penting dalam mematangkan pasaran EV terpakai di Malaysia dengan menawarkan tahap ketelusan, keyakinan dan nilai pemilikan yang lebih tinggi kepada pengguna.











The post BYD Certified Dilancar di Malaysia, Tetapkan Standard Baharu Pemilikan EV Terpakai appeared first on TW Media.




