BYD lantik Inokom milik Sime Motors untuk pemasangan kenderaan di Kulim

LocalCars
15 Oct 2026 • 10:14 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

BYD lantik Inokom milik Sime Motors untuk pemasangan kenderaan di Kulim Image from: BYD lantik Inokom milik Sime Motors untuk pemasangan kenderaan di Kulim liza15/10/2026 - 10:14 Kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian memorandum persefahaman (MoU) di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China, yang menjadi asas kepada kerjasama antara kedua-dua pihak Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt – BYD Malaysia melantik Inokom Corporation Sdn Bhd, anak syarikat Sime Motors yang berpangkalan di Kulim, Kedah sebagai rakan pemasangan tempatan bagi menyokong perancangannya memasang kenderaan di Malaysia.

 

Pelantikan itu adalah satu langkah penting dalam usaha BYD memperluas operasinya di Malaysia menerusi pemasangan kenderaan menggunakan komponen yang dibekalkan secara berasingan (CKD).

 

BYD Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan kerjasama itu dimeterai menerusi perjanjian memorandum persefahaman (MoU) di ibu pejabat global BYD di Shenzhen, China, yang menjadi asas kepada kerjasama antara kedua-dua pihak.

 

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pemasangan tempatan merupakan sebahagian penting daripada komitmen jangka panjang syarikat itu terhadap Malaysia.

 

Beliau berkata, kerjasama dengan Sime Motors membolehkan BYD memanfaatkan keupayaan pembuatan automotif sedia ada bagi meneruskan perancangan pemasangan kenderaan di negara ini.

 

Manfaatkan kemudahan automotif tempatan

Menurutnya, langkah itu juga bertujuan membawa kepakaran BYD dalam kenderaan tenaga baharu serta teknologi bateri lebih dekat kepada pengguna Malaysia, selain menyumbang kepada pembangunan industri automotif tempatan.

 

“Kerjasama ini merupakan satu lagi langkah dalam perkembangan BYD di Malaysia bersama BYD Sime Motors. Kami akan terus memperkukuh kehadiran tempatan dan meneroka peluang untuk meningkatkan pelaburan di Malaysia melalui kerjasama dengan rakan industri tempatan,” katanya.

 

MoU berkenaan ditandatangani oleh Naib Presiden BYD merangkap Pengurus Besar Bahagian Jualan Automotif BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang dan Jeffri.

 

Majlis menandatangani MoU itu turut disaksikan Jacob Ma serta Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Motors, Jeffrey Gan.

 

Sime Motors sasar manfaat lebih luas kepada industri

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime, Datuk Jeffri Salim Davidson berkata keputusan BYD untuk bekerjasama dengan Sime mencerminkan keupayaan industri pembuatan automotif Malaysia serta kepakaran yang dibangunkan kumpulan itu selama ini.

 

Beliau berkata, pengalaman Inokom dalam pemasangan kenderaan, disokong tenaga kerja berpengalaman dan rangkaian pembekal tempatan menyediakan asas bagi pelaksanaan kerjasama berkenaan.

 

Menurutnya, kerjasama itu bukan sahaja melibatkan pemasangan kenderaan, malah berpotensi membuka peluang untuk memperkukuh ekosistem automotif Malaysia, menyokong perniagaan tempatan serta membangunkan kepakaran industri bagi pertumbuhan jangka panjang. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved