BYD Sime Motors lancar 69 unit terhad BYD Atto 3 Performance 2026

Business & Finance
11 Sep 2026 • 1:37 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: BYD Sime Motors lancar 69 unit terhad BYD Atto 3 Performance 2026

PETALING JAYA: BYD Sime Motors melancarkan edisi terhad BYD Atto 3 Performance 2026 sebanyak 69 unit sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69 Malaysia. 

Model terbaharu yang ditawarkan pada harga RM149,800 itu merupakan varian paling berkuasa dalam barisan BYD Atto 3 setakat ini, dengan output sistem tergabung 330 kW dan tork 560 Nm menerusi sistem pacuan semua roda (AWD).

Pengarah Urusan BYD Malaysia, Jacob Ma berkata, pengenalan varian edisi terhad berkenaan bertujuan memberi pilihan prestasi lebih tinggi kepada pengguna tanpa menjejaskan ciri praktikal sebuah kenderaan elektrik (EV) harian.

“BYD Atto 3 memainkan peranan penting dalam meluaskan kebolehcapaian EV di Malaysia, dan varian Performance ini membawa penawaran kami ke tahap lebih tinggi menerusi kuasa lebih mantap serta teknologi bateri terkini.

“Dengan pecutan dari 0 hingga 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 4.0 saat, model ini direka khas untuk pelanggan yang mahukan pemanduan lebih dinamik,” katanya dalam kenyataan. 

Sementara itu, Pengarah Urusan BYD Sime Motors, Adeline Lew berkata, lebih 13,000 unit BYD Atto 3 kini berada di jalan raya Malaysia sejak ia mula diperkenalkan di pasaran tempatan.

“Pencapaian ini mencerminkan momentum kukuh BYD di Malaysia yang kini disokong oleh rangkaian 44 cawangan jualan, 28 pusat servis dan 12 pusat baik pulih badan serta cat di seluruh negara.

“Bagi varian Performance 2026, ia melengkapi rangkaian BYD Atto 3 sedia ada bersama varian Ultra yang dijual pada harga RM125,800 dan varian Premium pada RM138,800,” katanya.

Model edisi terhad berkenaan dilengkapkan dengan Bateri Bilah 74.88kWh yang menyokong pengecasan pantas DC sehingga 220kW serta menawarkan jarak pemanduan sehingga 530 kilometer (NEDC).

Antara penambahan ciri baharu termasuk Paparan Kepala pada Cermin Depan (W-HUD), peti sejuk kenderaan dengan fungsi penyejukan dan pemanasan, serta sistem Bantuan Pemandu Lanjutan (ADAS) komprehensif.

Sempena pelancaran tersebut, BYD Sime Motors turut menawarkan pakej pelancaran eksklusif bernilai RM10,000 serta jaminan kenderaan selama enam tahun atau 150,000km dan jaminan Bateri Bilah selama delapan tahun atau 160,000km. – UTUSAN

The post BYD Sime Motors lancar 69 unit terhad BYD Atto 3 Performance 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved