BYD Tawar Ciri Swaparkir Penuh Di China – Akan Tanggung Liabiliti Kemalangan Disebabkan Olehnya

TechnologyDigitalCars
14 Jul 2025 • 10:37 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

BYD, pengeluar kenderaan dari China boleh dikatakan agak laju dalam pembangunan teknologi mereka, mendahului pelbagai pesaing yang lain. Terbaru, mereka telah mula menawarkan ciri swaparkir untuk kenderaan mereka, melalui kemaskini kepada sistem swapandu pintar mereka, “God’s Eye”.

Ciri ini ditawarkan untuk pengguna di China terlebih dahulu, dan boleh digunakan tanpa mengira lokasi. Untuk makluman, pihak Mercedes Benz sebelum ini sedia menawarkan ciri swaparkir ini, tetapi diterhadkan di parkir lapangan terbang Stuttgart, Germany sahaja – dan memerlukan sejumlah peralatan tambahan dipasang di lokasi.

BYD menjadi yang pertama menawarkan teknologi swaparkir ini kepada pengguna kenderaan mereka, tanpa mengira lokasi, dan tanpa keperluan infrastruktur khas diluar kenderaan mereka. Walaupun terdapat beberapa syarikat lain menawarkan ciri swaparkir, namun, ia tidak ditawarkan dalam bentuk bebas dan menyeluruh sepenuhnya seperti BYD.

Malah, BYD sangat yakin dengan penawaran teknologi mereka, sekaligus menjanjikan akan tanggung sebarang kerosakkan yang berlaku akibat penggunaan teknologi ini – tanpa perlu melalui pihak insurans. BYD menjayakan penawaran ini melalui penggunaan sejumlah sensor, termasuk sensor lidar, kamera tambahan, dan sensor ultrasonik. Ini sekaligus membawa ketepatan sehingga 1 sentimeter melaluinya.

Langkah ini juga sekaligus membawa BYD jauh dihadapan berbanding pelbagai pengeluar lain, termasuk Tesla yang masih menghadapi cabaran dalam arena swaparkir dan swapandu ini.