GDB raih kontrak RM119 juta daripada I-Ilham Corporation bagi projek amaran banjir Sarawak

LocalBusiness & Finance
19 Oct 2026 • 6:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

GDB raih kontrak RM119 juta daripada I-Ilham Corporation bagi projek amaran banjir Sarawak Image from: GDB raih kontrak RM119 juta daripada I-Ilham Corporation bagi projek amaran banjir Sarawak liza19/10/2026 - 18:26 Banjir di Sarawak - Gambar BERNAMA Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Okt – GDB Holdings Berhad memperoleh subkontrak bernilai RM118.99 juta bagi melaksanakan kerja pembinaan dan penyiapan projek Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa 3 di Sarawak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GDB berkata kontrak itu diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, GDB Infra Sdn Bhd daripada kontraktor utama, I-Ilham Corporation Sdn Bhd.

 

“Perjanjian subkontrak itu diterima pada 2 Ogos 2026 namun pendedahan mengenainya hanya mendapat kebenaran daripada I-Ilham pada 19 Oktober 2026. Projek berkenaan dijadualkan siap pada 29 November 2029,” katanya.

 

Kontrak infrastruktur keempat di Sarawak

Pemerolehan itu merupakan kontrak infrastruktur keempat GDB di Sarawak dan seterusnya meningkatkan nilai kumulatif kontrak pembinaan kumpulan itu di negeri berkenaan kepada RM355.9 juta.

 

Pengarah Eksekutif merangkap Pemangku Pengarah Urusan Kumpulan GDB Holdings Berhad, Andy Lai Wee Young berkata pemilihan kumpulan itu bagi melaksanakan inisiatif ramalan dan amaran banjir peringkat kebangsaan di Sarawak mencerminkan kepercayaan terhadap kepakaran pembinaan khususnya.

 

“Infrastruktur mitigasi banjir merupakan bidang pertumbuhan utama dan GDB berada pada kedudukan yang baik untuk merebut peluang dalam aspek daya tahan iklim dan kesiapsiagaan menghadapi bencana.

 

“Dengan portfolio pembinaan yang semakin berkembang di Malaysia Timur, merangkumi kerja jalan raya, rawatan air dan ramalan banjir, kumpulan bersedia untuk memacu pertumbuhan selanjutnya, katanya.

 

Kontrak terbaharu itu turut meningkatkan jumlah kontrak baharu yang diperoleh GDB bagi tahun kewangan 2026 kepada RM795.3 juta merangkumi Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur.

 

Sasaran buku tempahan RM1 bilion

Dengan tambahan kontrak itu, GDB berada pada landasan untuk mencapai sasaran buku tempahannya sebanyak RM1 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026.

 

Setakat 13 Oktober 2026, nilai tender kumpulan itu berjumlah RM4.3 bilion, merangkumi sektor perindustrian, pusat data, komersial, pembangunan bercampur, infrastruktur dan kediaman.

 

Antara projek utama GDB yang sedang dilaksanakan di Semenanjung Malaysia ialah Wolo Hotel & Residences Mont Kiara Kuala Lumpur setinggi 60 tingkat, International Tertiary Hospital di KL Wellness City dan Logistics Hub Plot B di Shah Alam.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved