Baru-baru ini, ByteDance, syarikat pembangun disebalik perkhidmatan video ringkas TikTok baru-baru ini telah mengumumkan bahawa mereka akan membangunkan sebuah pusat data baru di Asia Tenggara, khususnya Malaysia yang akan digunakan untuk tujuan penyelidikan AI dan juga untuk pengguna-pengguna perkhidmatan AI mereka di rantau ini.
Menurut Wall Street Journal, ByteDance dilaporkan akan membeli sebanyak 500 sistem perkomputeran NVIDIA Blackwell (berkemungkinan besar NVIDIA DGX B200) yang terdiri daripada 36 ribu cip pemprosesan NVIDIA B200 daripada syarikat pusat data awanan Aolani Cloud yang berpengkalan di Singapura.
Aolani Cloud dilaporkan juga akan membeli komponen-komponen untuk membina pusat data ini dari sebuah lagi syarikat yang dinamakan Aivres yang akan memasang mesin-mesin pelayan ini, dan kesemua 500 sistem perkomputeran yang dikuasakan oleh cip pemprosesan AI terbaru Grace Blackwell tersebut akan hadir dengan nilai $2.5 bilion (~RM9.83 bilion).

Laporan tersebut turut mengatakan bahawa ByteDance merancang untuk menggunakan kuasa pengkomputeran tersebut untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan teknologi AI di luar China, serta memenuhi permintaan AI yang semakin meningkat daripada pelanggannya di seluruh dunia.
Eksplorasi penggunaan teknologi AI juga bukanlah sesuatu yang baru untuk ByteDance. Syarikat tersebut telah membangunkan model AI janaan video Seedance 2.0 yang dilihat berjaya menjana banyak video-video hyper-realistic. ByteDance juga dilaporkan memiliki beberapa aplikasi AI lain seperti Cici AI, Coze, ChitChop dan BagelBell yang dikuasakan menggunakan model bahasaraya ChatGPT milik OpenAI.
Berkenaan isu kawalan eksport dan penggunaan teknologi pemprosesan AI oleh syarikat-syarikat dari luar Amerika Syarikat, kelebihan Aolani Cloud ialah ia adalah salah satu syarikat-syarikat antarabangsa yang mengikuti arahan kawalan tersebut dengan cukup ketat sekali. Ini adalah kerana walaupun komponen-komponen ini digunakan oleh syarikat China seperti ByteDance, proses pembelian, pemasangan dan operasi mesin-mesin pelayan ini dikawal oleh Aolani Cloud, dan dibangunkan di luar negara China.
Setakat ini ia tidak diketahui lagi bilakah ByteDance ataupun Aolani Cloud akan mula membangunkan kapasiti pusat data ini.


