C4 Center desak siasatan terhadap Azam Baki didedahkan

LocalPolitics
14 May 2026 • 2:31 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: C4 Center desak siasatan terhadap Azam Baki didedahkan
C4 Center turut meminta kerajaan menyelesaikan dakwaan serius mengenai penglibatan SPRM dalam ‘Mafia Korporat’. Gambar hiasan

SHAH ALAM - Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4 Center) menggesa agar hasil siasatan berhubung pemilikan saham yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki segera didedahkan sepenuhnya.

C4 Center dalam kenyataan berkata, tindakan pantas perlu diambil sekiranya wujud sebarang unsur salah laku.

Dakwanya, sepanjang tempoh enam tahun Azam memegang jawatan itu, pelbagai skandal masih belum diselesaikan antaranya Strategik Litigasi Terhadap Penyertaan Awam (SLAPP) yang menyasarkan wartawan dan pengkritik.

“Selain itu, terdapat persepsi wujudnya pendakwaan terpilih terhadap musuh politik Perdana Menteri, sementara SPRM didakwa diarahkan agar tidak membuka sebarang siasatan terhadap bekas pembantu politik pemimpin negara itu.

“Serta dakwaan penyalahgunaan ‘Seksyen D’ SPRM yang dikaitkan dengan operasi ‘Mafia Korporat’,” katanya pada Khamis.

Menurut C4 Center, pelantikan Datuk Seri Abdul Halim Aman sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu tidak memadai untuk menutup pelbagai isu institusi dan kontroversi yang didakwa menjejaskan keyakinan rakyat terhadap agensi berkenaan.

“Walaupun terdapat janji bahawa hasil siasatan terhadap kontroversi melibatkan Azam akan didedahkan kepada umum, kerajaan gagal mengumumkan sebarang pendedahan dalam tempoh tiga bulan lalu.

“Dakwaan-dakwaan ini amat serius dan telah menjejaskan kepercayaan awam terhadap SPRM serta agenda reformasi yang dicanangkan kerajaan,” katanya lagi.

Selain itu, C4 Center meminta kerajaan menyelesaikan dakwaan serius mengenai penglibatan SPRM dalam ‘Mafia Korporat’.

Dalam kenyataan itu, pertubuhan berkenaan menegaskan bahawa Abdul Halim kini berdepan cabaran besar untuk memulihkan keyakinan awam terhadap agensi penguat kuasa tersebut.

Menurutnya, walaupun SPRM sering mendapat perhatian melalui serbuan dan tangkapan berprofil tinggi, skor Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Malaysia masih kekal antara 48 hingga 52 daripada 100 sepanjang enam tahun lalu.

“Perlu diingatkan bahawa kerajaan sendiri menetapkan sasaran untuk Malaysia berada dalam kelompok 27 negara terbaik menjelang 2028, berbanding kedudukan semasa di tangga ke-54.

“Bagi mencapai sasaran itu, Ketua Pesuruhjaya baharu perlu segera menyelia, melaksanakan dan memudah cara reformasi besar-besaran dalam agensi,” ujarnya.

Antara reformasi dicadangkan termasuk penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi memantau SPRM, memperluaskan bidang kuasa Ombudsman Malaysia kepada SPRM serta memperkukuh ketelusan lima badan pemantauan agensi itu.

C4 Center berkata, rakyat mahu melihat undang-undang dilaksanakan secara adil dan perubahan sistemik dilakukan supaya SPRM menjadi institusi yang dihormati serta diyakini masyarakat.