PUTRAJAYA – DAP menggesa Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Seri Mohd Khalid Ismail mendedahkan perkembangan terkini siasatan berhubung dakwaan aktiviti ‘mafia korporat’ yang dikaitkan dengan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo menegaskan, penjelasan segera diperlukan memandangkan hampir dua bulan sudah berlalu sejak Kabinet menyuarakan kebimbangan dan mengarahkan siasatan penuh dijalankan.
Menurut beliau, ketelusan menjadi keutamaan dalam memastikan keyakinan awam terhadap institusi penguatkuasaan terus terpelihara.
“Ketua Polis Negara mesti, sebagai permulaan, menyatakan dengan jelas sama ada individu yang dinamakan dalam laporan telah disoal siasat dan menggariskan langkah susulan yang akan diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Tegas Menteri Digital itu lagi, memandangkan dakwaan melibatkan syarikat serta individu yang dikenal pasti, siasatan perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa mengabaikan mana-mana pihak.
"Perkara ini melibatkan kepentingan awam yang besar kerana integriti pasaran dan institusi negara menjadi taruhan. Dakwaan serius seperti ini tidak boleh dibiarkan tanpa tindakan dan mesti diselesaikan sepenuhnya mengikut undang-undang,” ujarnya.
Gobind yang juga Ahli Parlimen Damansara turut mengingatkan bahawa Kabinet tidak mengehadkan siasatan kepada pihak polis semata-mata.
Jelasnya, Suruhanjaya Sekuriti juga mempunyai peranan penting sekiranya wujud unsur manipulasi pasaran dalam kes berkenaan.
"Oleh itu, adalah wajar bagi Suruhanjaya Sekuriti untuk menyatakan langkah yang telah diambil dalam menangani perkara ini. Sekiranya terdapat unsur manipulasi pasaran, termasuk penggunaan paksaan atau cara lain untuk memindahkan pegangan saham dalam mana-mana syarikat, maka Suruhanjaya Sekuriti turut mempunyai bidang kuasa dalam hal ini.
"Mereka perlu memaklumkan sama ada aspek ini telah diteliti dan sama ada tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan atau bersubahat serta bila tindakan tersebut akan dilaksanakan." katanya.
Terdahulu, media antarabangsa mendedahkan kewujudan rangkaian yang digelar sebagai “mafia korporat”, dipercayai terlibat dalam manipulasi struktur pemilikan syarikat serta transaksi saham bagi menguasai entiti tertentu.
Pendedahan itu turut mengaitkan penggunaan proksi, tekanan terhadap pengurusan syarikat dan kemungkinan campur tangan pihak berkepentingan bagi mencapai matlamat komersial.
Laporan sama juga membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan wujud unsur salah guna kuasa dan pengaruh dalam kalangan individu tertentu, termasuk dakwaan kaitan dengan pegawai institusi penguat kuasa.
Perkara tersebut mencetuskan persoalan serius terhadap tahap integriti sistem kawal selia serta keupayaan mekanisme sedia ada dalam mengekang aktiviti manipulasi pasaran.
Susulan itu, beberapa pihak menuntut siasatan menyeluruh dijalankan melibatkan semua agensi berkaitan termasuk Polis Diraja Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bagi memastikan sebarang pelanggaran undang-undang dapat ditangani secara tegas serta telus.




