Gesaan tubuh RCI isyarat isu mafia korporat langkaui siasatan biasa

LocalPolitics
19 Apr 2026 • 9:15 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Gesaan tubuh RCI isyarat isu mafia korporat langkaui siasatan biasa
Bloomberg mendakwa mengenai kewujudan gerakan mafia korporat dengan menyediakan perkhidmatan intimidasi bagi memaksa pengambilalihan syarikat. - Gambar hiasan

ISU dakwaan kewujudan mafia korporat dalam badan agensi penguatkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencerminkan kebimbangan mendalam terhadap tahap integriti institusi yang sepatutnya menjadi benteng utama memerangi rasuah dan salah guna kuasa.

Sebelum ini, media antarabangsa, Bloomberg mendakwa mengenai kewujudan gerakan mafia korporat dengan menyediakan perkhidmatan intimidasi bagi memaksa pengambilalihan syarikat.

Laporan itu turut mendakwa wujud rangkaian ahli perniagaan dan pegawai SPRM yang menggunakan serbuan serta siasatan untuk memberi tekanan kepada eksekutif supaya menjual pegangan saham dalam syarikat disasarkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan sambil menyifatkannya tidak berasas selain menggesa mana-mana pihak mempunyai maklumat membuat laporan polis.

Pada Sabtu, Pas terus mendesak supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) segera ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kewujudan mafia korporat dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa mempengaruhi institusi penguat kuasa serta mencetuskan persoalan serius terhadap integriti sistem pentadbiran negara.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, siasatan menyeluruh perlu dilakukan susulan pelbagai pendedahan dan dakwaan yang timbul berkait isu integriti melibatkan institusi penting negara.

Dalam konteks itu, gesaan Pas memberi isyarat bahawa isu tersebut telah melangkaui keperluan siasatan biasa.

RCI sebagai badan siasatan bebas dengan kuasa lebih luas, mampu berfungsi sebagai mekanisme semak dan imbang yang kritikal terutama dalam isu berkenaan.

Keperluan terhadap RCI menjadi lebih bermakna apabila dakwaan yang dilaporkan Bloomberg menyentuh aspek intimidasi dan manipulasi kuasa bagi tujuan pengambilalihan syarikat.

Jika benar, sudah tentu ia berpotensi mencalar reputasi agensi penguatkuasaan, malah menggugat kestabilan ekosistem perniagaan dan keyakinan pelabur terhadap negara.

Kesimpulannya, dalam berdepan dakwaan serius seperti mafia korporat, RCI bukan hanya instrumen siasatan tetapi juga simbol komitmen terhadap ketelusan dan akauntabiliti.

Ia berkemungkinan boleh menjadi titik tolak dalam memperkukuh semula keyakinan awam, dengan syarat dapatan yang diperoleh diterjemahkan kepada tindakan yang nyata dan berkesan.