
Kota Kinabalu: Peningkatan hasil Kerajaan Negeri bukan sekadar angka dalam rekod kewangan sebaliknya diterjemahkan kepada pelaburan RM210.25 juta dalam bantuan pendidikan sepanjang 2021 hingga 2025 bagi memastikan lebih ramai anak Sabah mendapat akses kepada pendidikan berkualiti.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pantai Manis Datuk Pengiran Saifuddin Pengiran Tahir Petra (gambar) berkata peningkatan hasil kerajaan negeri membuka ruang fiskal lebih besar untuk mewujudkan inisiatif baharu dan memperkemas program sedia ada khususnya dalam sektor pendidikan.
“Hasil Kerajaan Sabah meningkat daripada RM5.45 bilion pada 2021 kepada RM6.96 bilion pada 2022, RM6.98 bilion pada 2023, RM6.87 bilion pada 2024 dan RM6.76 bilion pada 2025.
“Peningkatan ini membolehkan kerajaan memperluas pelaburan dalam pendidikan termasuk memastikan akses, kebajikan murid dan kemudahan sekolah terus diperkukuh,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Legasi Gemilang Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Papar pada Sabtu lalu.
Turut hadir Pengarah Yayasan Sabah Datuk Ghulam Khan Bahadar dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) Abidin Marjan.
Beliau berkata Kerajaan Persekutuan turut meningkatkan peruntukan pendidikan dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menerima RM66.2 bilion dalam Belanjawan 2026 termasuk bagi pembinaan sekolah baharu, bantuan persekolahan, biasiswa dan Rancangan Makanan Tambahan.
Menurutnya bagi Sabah sebanyak RM75.5 juta diperuntukkan pada 2025 untuk melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan manakala kesemua inisiatif itu diteruskan pada 2026 dengan tambahan Bantuan Pendaftaran Yuran Muet (Bayu).
Katanya Bayu menyediakan bantuan RM150 seorang kepada 8,458 pelajar prauniversiti yang menduduki peperiksaan Muet membabitkan anggaran peruntukan RM1.27 juta.
“Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2026 sahaja sebanyak RM15.89 juta telah disalurkan kepada 11,383 penerima di seluruh Sabah melalui pelbagai inisiatif bantuan pendidikan.
“Begitu juga peruntukan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) meningkat daripada sekitar RM52 juta pada 2019 kepada RM155 juta pada 2026 dengan jumlah penerima meningkat kepada 5,412 pelajar berbanding 637 pelajar pada 2019,” jelasnya.
Mengulas lanjut Pengiran menyatakan selain bantuan kepada pelajar, Kerajaan Negeri turut menyediakan inisiatif lain iaitu Bagus, Bisbah, Balkis, Bantu dan Sukses bagi membantu sekolah serta warga pendidik, termasuk bantuan sekali bayar RM3,000 kepada setiap sekolah melalui Sukses.
Ujarnya usaha memperkukuh pendidikan turut meliputi pendigitalan melalui penyediaan 45,000 komputer riba, kemudahan Starlink, sistem tenaga solar di 68 sekolah yang menghadapi kekangan internet dan elektrik serta pelaksanaan papan pintar secara berperingkat.
“Semua peruntukan dan kemudahan ini bukan matlamat akhir, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada peningkatan kualiti pembelajaran, penguasaan ilmu dan pencapaian anak-anak kita yang memaparkan komitmen kerajaan negeri untuk memperkasa pendidikan di Sabah,” katanya.






