
Kota Kinabalu: Polis bantuan Jabatan Air Sabah menahan seorang lelaki berusia 56 tahun dalam serbuan terhadap sambungan paip air yang disyaki haram di Jalan Sulaman, Sepanggar, pada Ahad.
Operasi itu dijalankan bersama pegawai penguat kuasa Jabatan Air Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengikut Seksyen 49(a) dan 49(b) Enakmen Bekalan Air Sabah 2003.
Operasi berkenaan susulan maklumat awam yang diterima kira-kira 2.45 petang. Dua anggota polis bantuan dan pegawai penguat kuasa itu memeriksa lokasi kira-kira 3.45 petang dan mendapati lima individu dipercayai terbabit dalam aktiviti berkenaan.
Empat daripada mereka sempat melarikan diri dari lokasi, manakala beberapa barangan yang dipercayai digunakan untuk membuat sambungan haram itu dirampas.
Polis bersama tiga lagi anggota polis bantuan tiba kira-kira 4.29 petang. Suspek dibawa ke Balai Polis Alamesra pada 4.40 petang bagi membantu siasatan.
Operasi itu tamat pada 7.13 malam.
Jabatan berkenaan berkata pihaknya akan mempergiatkan penguatkuasaan terhadap sambungan air haram yang boleh menjejaskan keselamatan dan pengurusan sistem bekalan air dengan baik.
Jabatan itu turut menggesa orang ramai supaya terus menyalurkan maklumat mengenai sambungan air yang disyaki haram.






