Cabul & Rakam Pesakit Budak 12 Tahun, Doktor Hospital Kemaman Ditahan Polis

Entertainment
10 Feb 2023 • 1:48 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Mencalarkan imej pegawai perubatan dan sistem kesihatan negara apabila seorang doktor di Hospital Kemaman ditahan polis selepas disyaki mencabul seorang pesakit kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa, doktor lelaki berusia 30 tahun itu ditahan selepas ibu mangsa membuat laporan polis.

Doktor tersebut didakwa melakukan perbuatan terkutuk terhadap mangsa ketika merawatnya di Wad Kanak-Kanak di hospital itu, menurut laporan Harian Metro.

image is not available

“Kanak-kanak terbabit dimasukkan ke hospital itu susulan diabetes yang dialaminya mendakwa doktor terbabit telah membuka baju dan meraba dadanya di bilik rawatan wad hospital itu, kira-kira pukul 6 petang, pada Rabu.

“Mangsa juga mendakwa suspek turut merakam gambar mangsa menerusi telefon bimbitnya dan ketika kejadian mangsa hanya berdua dengan suspek di bilik berkenaan,” katanya.

Difahamkan ketika kejadian, mangsa tidak ditemani ibu bapanya berikutan kanak-kanak tersebut sudah biasa menerima rawatan di hospital berkenaan.

Kanak-kanak itu kemudiannya mengadu kepada ibu bapanya mengenai perbuatan tidak senonoh doktor terbabit sebelum laporan polis dibuat.

Menurut pihak polis, suspek dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu kepada ramai lagi mangsa kanak-kanak perempuan, berdasarkan penemuan awal terhadap beberapa gambar dalam telefon bimbit suspek.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.