Cadangan Gaji Bermaruah RM5,000 Tidak Realistik – MEF

LocalBusiness & Finance
7 May 2025 • 9:58 AM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Sejak belakangan ini, hangat di media sosial mengenai isu gaji. Segalanya bermula apabila bekas gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Muhammad Ibrahim berpendapat gaji permulaan graduan sepatutnya bermula RM7,000.

Ini kerana pendapatan yang diterima oleh mereka dilihat tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi serta peningkatan kos sara hidup.

Malah, seorang penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, turut senada dengan Muhammad Ibrahim apabila berpendapat kadar gaji ideal yang bermaruah adalah RM5,000 ke atas bagi golongan bujang dan keluarga yang mempunyai dua anak.

Pun begitu, jumlah tersebut bergantung kepada lokasi tempat tinggal sama ada di bandar atau luar bandar.

MEF Sifatkan Cadangan Gaji RM5,000 Tidak Realistik, Ada Majikan Yang Masih Bergelut Stabilkan Kewangan

Walau bagaimanapun, persatuan majikan berpendapat cadangan kadar gaji bermaruah ini dilihat tidak realistik dalam konteks ekonomi semasa.

Menurut Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, kebanyakan majikan khususnya dari sektor mikro, kecil dan sederhana (PKMS) masih bergelut untuk menstabilkan kewangan syarikat mereka terutama selepas pandemik Covid-19.

Tambah Syed Hussain, kadar kenaikan kos operasi, gangguan bekalan global serta perubahan permintaan pengguna menghalang majikan untuk menaikkan gaji dengan nilai sebegitu tanpa menjejaskan kelangsungan perniagaan.

“Secara umumnya, sebarang cadangan menetapkan gaji bermaruah RM5,000 ke atas tidak mengambil kira realiti semasa majikan dan landskap ekonomi global terutamanya selepas pelaksanaan tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) terhadap pengeksport termasuk Malaysia.

“Tindakan AS mengenakan tarif timbal balik sebanyak 24% terhadap produk Malaysia memberi tekanan tambahan kepada daya saing eksport negara, walaupun ditangguhkan untuk tiga bulan.

“Ini secara langsung menjejaskan hasil pendapatan syarikat terutamanya sektor perkilangan dan eksport.

“Jika kos buruh turut meningkat mendadak, ia boleh menyebabkan pengeksport Malaysia kehilangan pasaran antarabangsa dan pelabur mencari negara yang menawarkan kos buruh lebih kompetitif,” katanya yang dipetik daripada Sinar Harian.

Perlu Ada Perbincangan Menyeluruh Berhubung Isu Gaji

Syed Hussain turut berpendapat, perbincangan berkaitan isu gaji perlu diadakan secara menyeluruh melibatkan kerajaan, majikan serta pekerja berdasarkan data produktiviti dan pertumbuhan ekonomi sebenar.

Malah, beliau turut mencadangkan agar kenaikan gaji dibuat secara berperingkat seiring dengan peningkatan produktiviti dan kemampuan syarikat.

Sebelum ini, Aimi Zulhazmi turut mendedahkan data dari Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan purata perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) bagi setiap isi rumah pada tahun 2023 adalah RM4,729.

Nilai PAKW adalah berbeza dan kawasan bandar menunjukkan kadar yang lebih tinggi berbanding luar bandar dengan nilai masing-masing RM5,040 dan RM3,631.

Source: