“Wajar Gaji Pada Paras RM7,000” – Bekas Gabenor BNM & Pakar Ekonomi Sependapat Yang Gaji Di Malaysia Rendah

LocalBusiness & Finance
5 May 2025 • 6:07 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Selain daripada persekitaran tempat kerja, gaji merupakan antara faktor utama yang dinilai oleh individu sebelum menerima pekerjaan.

Manakan tidak, ia penting bagi menampung perbelanjaan dalam kehidupan seharian.

Namun bagaikan tiada berkesudahan, ada sahaja luahan yang dibuat oleh segelintir pekerja tentang gaji yang diterima oleh mereka.

Ini kerana gaji yang ditawarkan tidak setimpal dengan beban yang ditanggung hingga ada yang terpaksa melakukan lebih dari satu kerja dalam satu masa.

Realiti Pendapatan Gaji Merosot – Bekas Gabenor BNM

Terbaharu, bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata realiti pendapatan sebenar yang diterima hari ini merosot sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan dengan empat dekat lalu.

Memetik Awani, beliau menjelaskan gaji graduan yang diterima jauh lebih rendah dari apa yang sepatutnya mereka perolehi sekaligus dilihat tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi dan peningkatan kos sara hidup.

Malah, beliau berpendapat, gaji permulaan graduan sepatutnya bermula pada RM7,000 hingga RM8,000.

“Realitinya, graduan baharu di Malaysia hanya menerima antara RM2,000 hingga RM3,000. Itu bersamaan dengan kuasa beli sekitar RM300 hingga RM400 pada tahun 1980-an. Dari segi sebenar, gaji kita telah merosot sekurang-kurangnya tiga kali ganda,” katanya.

Pakar Ekonomi Jelas Gaji RM5,000 Sebagai Gaji Ideal

Seorang pakar ekonomi dilihat senada dengan beliau dan berpendapat kadar gaji ideal yang bermaruah bagi kategori bujang dan keluarga yang mempunyai dua orang anak adalah bermula RM5,000 ke atas.

Namun, jumlah itu bergantung kepada lokasi tempat tinggal sama ada di bandar mahupun luar bandar.

Menurut Penganalisis ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, purata perbelanjaan asas kehidupan wajar (PAKW) yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mencatakan RM4,729 bagi satu isi rumah pada tahun 2023.

Malah, jumlah PAKW di kawasan bandar lebih tinggi jika dibandingkan dengan kawasan luar bandar iaitu RM5,040 berbanding RM3,631.

“Pengkelasan B40, M40 dan T20 hanya pendapatan kasar isi rumah, malah sudah pasti ia bukan ukuran tepat untuk menganalisis dapatan tersebut disebabkan mengambil kira kos sebenar sara hidup.

“Sudah pasti jumlahnya juga berbeza sama ada mengikut negeri-negeri di Malaysia atau perbandingan kos sara hidup di bandar dan luar bandar.

“Antara faktor penyumbang dari segi ekonomi adalah kenaikan kadar inflasi yang selalunya berpunca daripada permintaan dan bekalan, nilai mata wang jatuh atau Malaysia terlalu banyak import makanan daripada negara luar,” katanya yang dipetik daripada Astro Awani.

Aimi Zulhazmi mengulas sedemikian ketika ditanya mengenai isu gaji dan kos sara hidup di Malaysia dengan memberi fokus kepada keseimbangan pendapatan dan perbelanjaan rakyat.

Pendapatan Rakyat Tidak Alami Perubahan Ketara

Jelas beliau lagi, walaupun kadar inflasi masih dalam keadaan terkawal namun pendapatan rakyat tidak menunjukkan perubahan ketara.

Ini kerana purata gaji dan upah bulanan yang diterima pada tahun 2018 iaitu sebanyak RM3,087 hanya meningkat menjadi RM3,224 pada tahun 2019.

Manakala, ia hanya meningkat sebanyak 5.8% iaitu RM3,212 pada tahun 2022 jika dibandingkan dengan tahun 2021 iaitu RM3,037.

“Mungkin secara puratanya kelihatan banyak, tetapi jika dibandingkan dengan PAKW oleh DOSM, isi rumah di Malaysia dicatatkan pada RM4,729 untuk 2023.

“Selangor catat rekod tertinggi iaitu RM5,854 diikuti Perak sebanyak RM3,723. Jelas kelihatan bahawa jurang antara pendapatan purata gaji dan upah bulanan rakyat Malaysia serta PAKW masih jauh.

“Jadi kewujudan label ‘kerja tapi miskin’ tidaklah menghairankan,” jelasnya lagi.

Kumpulan B40 Belanja Lebih 50% Pendapatan Untuk Keperluan Asas

Sebelum ini, Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Marzunisham Omar pada Mac lalu pernah memaklumkan pertumbuhan gaji pekerja adalah lebih perlahan jika dibandingkan dengan kenaikan harga barang.

Keadaan ini juga menjadi punca kepada kenaikan kos sara hidup.

Jelasnya, gaji nominal iaitu pendapatan sebelum mengambil kira kesan inflasi setiap pekerja hanya meningkat 7% berbanding kenaikan harga keseluruhan iaitu 9.3% manakalan makanan pula sebanyak 17.4% sejak tahun 2019.

Malah, kumpulan B40 menghabiskan 52% daripada pendapatan mereka untuk membeli keperluan asas jika dibandingkan dengan golongan M40 sebanyak 37% dan T20 sebanyak 32%.

Pada 2 November tahun lalu, DOSM pula ada melaporkan perbelanjaan sara hidup yang wajar bagi isi rumah untuk mencapai purata nasional per kapita adalah RM1,314 sebulan.

Perbelanjaan Bulanan Bujang Yang Guna Pengangkutan Awam RM1,970 Di Lembah Klang

Untuk info, berdasarkan Laporan Belanjawanku yang diterbitkan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2024/2025, anggaran belanjawan bulanan bagi indvidu bujang di Lembah Klang yang menggunakan pengangkutan awam adalah RM1,900 sebulan.

image is not available

Manakala, buat mereka yang mempunyai kenderaan seperti kereta, anggaran belanjawan adalah sebanyak RM2,800 sebulan.

image is not available

Bagi pasangan yang sudah berkahwin namun tidak mempunyai anak adalah sebanyak RM4,970 manakala bagi yang mempunyai dua orang anak, anggaran belanjawan adalah lebih besar iaitu RM7,440.

image is not available

image is not available

Anggaran Belanjawan Bulanan Lebih Rendah Di Alor Setar, Kedah

Namun, jumlah ini sedikit berbeza jika dibandingkan dengan bandar di wilayah utara, Alor Setar, Kedah.

Bagi individu bujang yang menggunakan pengangkutan awam, anggaran belanjawan adalah sebanyak RM1,600 manakala bagi mereka yang memiliki kereta adalah RM2,210.

image is not available

image is not available

Bagi pasangan yang sudah berkahwin tetapi tidak mempunyai anak, anggaran belanjawan bulanan adalah RM3,940 manakala yang mempunyai dua orang anak adalah RM5,880.

image is not available

image is not available

Source: