
Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Jika perasan, sejak belakangan ini penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD) semakin berleluasa. Lihat sahajalah di media sosial, ada sahaja kanak-kanak yang dijangkiti virus ini.
Malah, media turut melaporkan kes HFMD khususnya di Johor juga berada pada tahap yang membimbangkan serta melebihi paras amaran.
Bagi kebanyakan ibu bapa, keadaan ini pastinya amat merisaukan apatah lagi melihat si kecil derita menanggung sakit.
Pasti ada yang tertanya-tanya apakah punca dan dari mana datangnya penyakit HFMD ini.
Nampak Selamat Tapi Berisiko Untuk Sebarkan HFMD
Terbaharu, Public Health Malaysia (PHM) menerusi satu hantaran di Facebook menyenaraikan lima barangan yang berisiko menyebar virus HFMD.
“HFMD bukan sekadar jangkitan biasa. Ia mudah merebak, terutamanya di kalangan kanak-kanak kecil.
“Tapi tahukah anda, banyak benda harian yang kita sangka ‘selamat’ sebenarnya boleh jadi punca?” tulis mereka.
Melalui perkongsian itu, lima barang yang disenaraikan adalah seperti:
#1 Mainan Di Taska Atau Tadika
Buat ibu bapa yang bekerja, pasti ada yang menghantar si cilik ke taska atau tadika.
Pasti ramai yang tahu lokasi ini menjadi antara tempat utama penyebaran virus tersebut.
Menurut PHM, mainan di taska adalah barangan yang disentuh oleh ramai kanak-kanak dan jarang disanitasi.
Oleh itu, ia berisiko menjadi penyebaran virus HFMD memandangkan virus tersebut boleh hidup di permukaan selama 24 jam.

#2 Troli Pasar Raya
Troli pasar raya juga boleh menjadi antara punca tersebarnya virus HFMD dalam kalangan kanak-kanak.
Ada ibu bapa yang gemar meletakkan si kecil pada troli tanpa membersih atau mengelapnya terlebih dahulu.
Jangan tidak tahu, bahagian tempat duduk pada troli sebenarnya sering tercemar. Oleh sebab itu ibu bapa disarankan membersihkan terlebih dahulu sebelum meletakkan si cilik di troli.
Pastikan anda sentiasa membawa tisu basah dan sanitizer untuk membersihkan permukaan yang dikhuatiri tercemar.

#3 Meja Makan Restoran
Ada anak kecil yang lebih gemar makan secara terus dari permukaan meja dan terus masuk makanan ke dalam mulut.
Kadangkala, permukaan meja mungkin tidak dibersihkan dengan betul terutama meja di restoran.
Oleh sebab itu, meja makan juga berisiko menjangkiti kanak-kanak dengan virus HFMD.
Sama seperti di atas, caranya mudah sahaja, pastikan anda membersihkan permukaan terlebih dahulu.
#4 Alat Kawalan Jauh & Permainan Di Inap Desa
Kebanyakan inap desa atau homestay ada menyediakan kemudahan seperti televisyen yang dilengkapi dengan alat kawalan jauh.
Malah, sesetengahnya turut menyediakan mainan buat pengguna khususnya yang mempunyai anak kecil.
Menurut PHM, barangan seperti alat kawalan jauh dan mainan yang disediakan juga berisiko membawa virus HFMD memandangkan ramai yang menyentuh serta mungkin tidak dicuci.

#5 Tombol Tandas & Suis Lampu Awam
Tombol tandas dan suis lampu awam juga berisiko menjadi punca penyebaran penyakit ini.
Ini kerana kedua-dua objek ini sentiasa disentuh oleh orang ramai.
Ada kanak-kanak yang menyentuhnya tanpa mencuci tangan terlebih dahulu dan membawa virus tersebut pulang ke rumah.

HFMD Boleh Dicegah Dengan Langkah Mudah
Pada masa yang sama, PHM turut menasihatkan orang ramai agar mengambil jalan pencegahan HFM dengan beberapa langkah mudah.
“Pesan kami: tak semua virus nampak di mata, tapi boleh dicegah dengan langkah mudah.
“Cuci tangan, lap permukaan, dan elak bawa anak kecil ke tempat sesak jika tak sihat. HFMD bukan gurauan,” tulis mereka lagi.
5 Punca Penyebaran HFMD Yang Kita Tak Sangka HFMD bukan sekadar jangkitan biasa. Ia mudah merebak, terutamanya di…
Posted by Public Health Malaysia on Sunday 4 May 2025
HFMD Bukan Sekadar Ruam Biasa, Ia Mudah Merebak
Untuk info, penyakit HFMD atau nama penuhnya Hand, Foot and Mouth Disease bukanlah sekadar ruam biasa. Ia boleh merebak dengan pantas dalam kalangan kanak-kanak khususnya di taska atau tadika.
Malah, orang dewasa juga berpotensi menghidap HFMD meskipun simptomnya tidak terlalu serius.
Namun, warga emas juga berisiko mengalami komplikasi manakal ibu hamil pula yang dijangkiti HFMD berdepan kelahiran bayi pramatang dan menjangkiti bayi dalam kandungan.
Virus ini boleh disebar melalui air liur, najis dan sentuhan lepuh. Antara tanda-tanda awal si cilik dijangkiti HFMD adalah:
- Demam
- Ulser di mulut
- Ruam melepuh di tangan, kaki dan lidah.
Apa yang penting ibu bapa perlu memastikan kawasan persekitaran dan peralatan yang digunakan oleh kanak-kanak bersih dan terpelihara.
Mama… sakit… mulut adik pedih…” Itulah suara lemah si kecil yang dulu ceria. Hari ini, dia hanya terbaring lesu….
Posted by Public Health Malaysia on Saturday 3 May 2025
Baca Artikel Berkaitan: Kes Semakin Meningkat, Ini Fakta Asas & Langkah Yang Perlu Ibu Bapa Ambil Jika Anak Dijangkiti HFMD
Baca Artikel Berkaitan: Kanak-kanak Maut Akibat HFMD
Baca Artikel Berkaitan: “Dia Negatif Monkeypox..” – Kanak-Kanak Tular Disahkan Positif HFMD, Bukan Cacar Monyet, Kata KKM
Source:


![Beri Reviu Hingga Burukkan Makanan, Wanita Mohon Maaf Kepada Kieda Crepe [Video]](https://cdn.newswav.com/img/topic/food.jpeg)


