Cadangan Hospital Mara bukan isu perkauman – Asyraf Wajdi

LocalPolitics
1 Sep 2026 • 2:55 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Cadangan Hospital Mara bukan isu perkauman – Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi

SHAH ALAM - Cadangan mewujudkan Hospital Majlis Amanah Rakyat (Mara) tidak seharusnya dikaitkan dengan isu perkauman ekoran ia dirangka berdasarkan perkembangan ekosistem pendidikan kesihatan Mara yang semakin lengkap.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ribuan doktor dan tenaga profesional dalam bidang kesihatan telah dilahirkan menerusi institusi pendidikan serta program penajaan Mara selepas lebih 60 tahun penubuhan agensi itu.

Malah menurutnya, Mara kini mempunyai ekosistem pendidikan kesihatan yang merangkumi pelbagai bidang termasuk perubatan, kejururawatan, farmasi, fisioterapi, pengimejan perubatan dan psikologi.

"UniKL MESTECH di Bangi menawarkan bidang berkaitan sains kesihatan, makmal, kesihatan alam sekitar serta keselamatan dan kesihatan pekerjaan.

"UniKL BMI di Gombak menawarkan program kejuruteraan kesihatan seperti penyelenggaraan kejuruteraan bioperubatan manakala UniKL MITEC menawarkan kursus penyelenggaraan peralatan perubatan dan kesihatan," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Selasa.

Pada 24 Ogos lalu, Asyraf Wajdi dilapor mengumumkan rancangan institusi berkenaan untuk menubuhkan sebuah Hospital Mara yang pertama, bukan hanya sebagai hospital pengajar, malah menjadi pusat kecemerlangan kesihatan dan pemangkin ekonomi Bumiputera.

Beliau memaklumkan, agenda tersebut sudah dimulakan oleh pasukan khas dengan lima rasional utama untuk membangunkannya.

Dalam pada itu beliau menjelaskan, Bahagian Penajaan Mara turut menyediakan pembiayaan pendidikan bermula peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang perubatan dan kesihatan sehingga sarjana, Doktor Falsafah (PhD) serta pengajian doktor pakar dengan tidak kurang 45,000 individu telah dilahirkan oleh institusi berkenaan.

"Saya tidak pernah akan menoleh ke belakang lagi. Pasukan khas telah dibentuk dan saya amanahkan kepada Timbalan Ketua Pengarah Mara, Dr Mahzan untuk mengepalainya.

"Insya-ALLAH semua aspek akan diteliti dan pandangan pakar-pakar akan digemblingkan termasuk doktor pakar daripada pelbagai hospital awam dan swasta yang menyatakan kesediaan membantu memandangkan mereka semua bekas anak tajaan Mara," ujarnya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved